Khamis, 22 April 2010

Selangor mohon jaminan rasmi keselamatan Pornthip

BERNAMA



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan jaminan rasmi berhubung keselamatan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand untuk memberikan keterangan pada inkues kematian pembantu politik Teoh Beng Hock.

Beliau berkata surat itu ditulis semalam dan dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Jaminan rasmi itu perlu bagi memastikan institusi keadilan di Malaysia terus dihormati.

"Kita harap menteri berkenaan menunaikan janji yang dibuat seperti yang dinyatakan dalam akhbar untuk memberikan jaminan keselamatan kepada Dr Pornthip," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini, 16 Julai tahun lalu.

Hishammuddin semalam berkata dakwaan bahawa jaminan keselamatan yang diberi terhadap Dr Pornthip bersyarat adalah tidak benar memandangkan keselamatan setiap individu yang memasuki Malaysia dilindungi tanpa mengira status kerakyatan masing-masing.

"S
aya sudah kata berulang kali, saya beri jaminan keselamatan terbaik, pihak polis akan lakukan segala yang patut bagi menjamin keselamatannya sejurus beliau tiba di negara ini hinggalah beliau kembali ke negaranya.

"Beliau akan dijemput dengan kenderaan polis di lapangan terbang sebelum dibawa ke tribunal dan kita juga akan tempatkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di biliknya.

"Kita akan pastikan beliau selamat balik ke Thailand," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata semua pemilik premis perniagaan di Hulu Selangor yang tidak menggunakan bangunan mereka atau disewakan dikecualikan daripada membayar cukai pintu berkuatkuasa 1 Mei ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berpendapat jika tindakan mengutip cukai pintu diteruskan, ia hanya membebankan pemilik premis terbabit memandangkan mereka tidak mendapat sebarang hasil dari bangunan yang dimiliki itu.


Tiada ulasan: