Selasa, 6 April 2010

Saman Guthrie: Bank Islam diperintah serah dokumen

BERNAMA



Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) diperintah menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam tempoh 14 hari semua dokumen yang dipohonnya dalam kes saman membabitkan saham Guthrie Berhad.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusuf mengeluarkan perintah itu dalam kamar ekoran permohonan Abdul Khalid bagi mendapatkan semua dokumen berkaitan yang ada pada bank itu.

Peguam Abdul Khalid, Malik Imtiaz Sarwar, memberitahu pemberita kemudian bahawa jika bank itu gagal berbuat demikian, saman balas bank itu terhadap Abdul Khalid boleh ditolak.

Kes itu melibatkan dua saman — satu oleh Abdul Khalid terhadap bank itu dan satu lagi ialah saman balas bank itu terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001.

Beliau memohon perintah bahawa terdapat kontrak cagaran antara beliau dan bank itu berhubung pinjaman berkenaan.

Abdul Khalid yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB.


Tiada ulasan: