Sabtu, 10 April 2010

Rumah guru di Sabah sasaran kakitangan bukan pengajar

SINAR HARIAN ONLINE

KOTA KINABALU - Kekurangan rumah guru di kawasan luar bandar di Sabah dirumitkan lagi dengan penempatan juruteknik komputer seramai 76 orang di sekolah rendah dan menengah bulan lepas.

Presiden Kesatuan Guru-guru Sabah (STU) Suhaimi Othman berkata terdapat guru-guru yang terpaksa berkongsi tempat tinggal bagi menyelesaikan masalah tempat tinggal juruteknik komputer berkenaan.

"Lebih mendukacitakan lagi ialah tidak ada seorang pun daripada juruteknik komputer itu berasal dari Sabah.

"Memandangkan jawatan juruteknik komputer hanya memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dengan kemahiran komputer, adalah lebih baik peluang itu diberikan kepada bekas murid-murid kami yang turut mempunyai kelayakan sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi berkata sekiranya jawatan itu diberikan kepada masyarakat tempatan yang tinggal berhampiran sekolah di mana mereka ditugaskan, masalah tempat tinggal dapat dielakkan.

Beliau berkata STU bersedia memberi bantuan kepada Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan calon-calon tempatan yang layak untuk ditemuduga bagi mengisi jawatan tersebut.-Bernama

Tiada ulasan: