Selasa, 6 April 2010

Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi Diluluskan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2009 tanpa sebarang episod panas seperti yang dijangka sebelum ini.

Malah perbahasan rang undang-undang itu hanya mengambil masa kira-kira dua jam setengah dan hanya bertumpu kepada beberapa isu, terutama soal agensi rujukan kredit khasnya Credit Tips Off Sdn Bhd (CTOS), isu jangka masa penggunaan data dan faktor pelaksanaan akta itu kelak.

Sebelum ini pelbagai pihak menyarankan supaya diwujudkan Akta Perlindungan Data Peribadi berikutan kontroversi perkhidmatan maklumat kredit yang dikeluarkan syarikat CTOS yang menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak.

Berhubung isu CTOS, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang akan dilantik di bawah akta itu akan bertanggungjawab memantau segala aktiviti syarikat-syarikat berkenaan.

"Selepas rang undang-undang ini berkuatkuasa, operasi akta akan bermula, jadi Pesuruhjaya Data Peribadi akan ditegaskan sebagai pihak berkuasa dan akan berhati-hati meneliti apa yang dilaksanakan syarikat-syarikat seumpamanya," katanya.

Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi antara lain bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu itu, dan dengan itu melindungi kepentingan individu berkenaan.

Menurut rang undang-undang itu seseorang pengguna data yang melanggar peruntukan Seksyen 5(1) telah melakukan satu kesalahan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM200,000 atau kedua-dua sekali.

Seksyen itu memperuntuk bahawa pemprosesan data peribadi oleh seseorang pengguna data hendaklah mematuhi prinsip perlindungan data peribadi iaitu prinsip am, prinsip notis dan pilihan, prinsip penzahiran, prinsip keselamatan, prinsip penyimpanan, prinsip integriti data dan prinsip akses.

Mengenai isu jangka masa data peribadi yang diperolehi boleh disimpan, Rais berkata kewajaran itu akan ditentukan di peringkat pelaksanaan di mana beberapa peraturan utama akan ditentukan selepas rang undang-undang itu diluluskan kelak.

Rais juga menegaskan bahawa akta itu bukan bertujuan membayar pampasan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan tindakan mana-mana syarikat yang menggunakan data peribadi mereka tanpa kebenaran.

"Pihak-pihak yang terkilan boleh ambil tindakan sivil terhadap mereka yang salah menggunakan data peribadi jika ia dikategori sebagai transaksi komersil," katanya.

Dalam sidang media kemudian, Rais berharap akan dapat segera mewujudkan agensi yang akan diterajui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang akan bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan, menjadikan agensi di bawah kementerian kini bertambah satu lagi, menjadikan jumlahnya 20.

"Kementerian ini mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mewujudkan pentadbirannya untuk membantu masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut berhubung isu CTOS selepas pelaksanaan akta itu, beliau berkata syarikat pengurusan kredit perlu membuat permohonan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi sebelum boleh menyimpan data-data peribadi individu di dalam pangkalan data mereka.

Malaysia antara negara pertama di kalangan negara Asean yang mengemukakan undang-undang seumpamanya.

Tiada ulasan: