Rabu, 14 April 2010

PR Selangor Mesra Pelabur, Tarik RM7 Bilion FDI 2009

Oleh Norasikin Samsi


SHAH ALAM - Data terkini Malaysia Industrial Development Authority (Mida) mengenai pelaburan di Malaysia bagi 2009 mengikut negeri menunjukkan bahawa Selangor mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM6.76 bilion yang mana RM4 bilion adalah daripada pelaburan terus asing.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata sebanyak 182 projek baru yang diterima pada 2009 adalah hasil usaha promosi yang dilakukan oleh agensi penggalakkan pelaburan seperti Mida, Pusat Pelaburan Negeri Selangor Berhad (SSIC) dan agensi berkaitan.

Bagi tempoh April 2008 sehingga Disember 2009, sebanyak 244 projek baru telah diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM10.14 bilion.

"Daripada jumlah ini sebanyak RM2.55 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sejumlah RM7.59 bilion daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM7.59 bilion daripada pelaburan asing," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Datuk Subahan Kamal pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-12 di sini semalam.

Menurut Teresa daripada jumlah tersebut, sebanyak 27,259 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan.

Sejumlah RM11.60 bilion daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala RM5.30 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri Seputeh itu juga berkata, adalah sukar bagi beliau untuk menentukan sesuatu pelaburan adalah usaha daripada kerajaan Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

Ini berikutan kebanyakan pelabur yang membuat keputusan untuk melabur pernah menghubungi Mida.

"Hubungan Mida dengan kerajaan negeri Selangor dan SSIC Berhad adalah mesra dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

Jadi susah juga bagi Mida untuk menentukan sama ada sesuatu pelaburan adalah usaha daripada BN ataupun Pakatan kerana selalunya pelaburan ke Malaysia dan Selangor bergantung kepada iklim ekonomi dunia dan juga dasar dan inisiatif kerajaan. Mereka tidak peduli pihak mana yang memegang teraju kepimpinan negeri Selangor," ujar beliau lagi.

Tambah beliau, dengan penubuhan sistem Industrial Park Management Committee (IPMC) di kawasan perindustrian sejak 2008, unit pelaburan yang menjaga kepentingan pelabur di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta dialog berkala dengan persatuan peniaga, pelabur asing dan juga pelabur tempatan membuatkan banyak pihak berpendapat bahawa kerajaan Pakatan adalah jauh lebih mesra dengan pelabur berbanding dengan kerajaan di bawah Barisan Nasional.

"Saya percaya itu sebabnya kita merupakan negeri yang mendapat bilangan projek pelaburan yang tertinggi dan peluang pekerjaan yang paling banyak di seluruh negara pada tahun lepas," katanya.


Tiada ulasan: