Isnin, 19 April 2010

Politik simbol Najib-Obama

Oleh Haris Zalkapli


Politik Malaysia menyaksikan satu perkara yang boleh disifatkan sebagai aneh kebelakangan ini, dengan kedua-dua pihak pemerintah Barisan Nasional dan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat bertukar posisi dalam beberapa isu besar.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bertemu dengan pemimpin popular Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama di Washington DC, pada masa sama di Malaysia, ketua pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang pemerintah diketuai Umno dengan tuduhan yang mengaitkannya dengan Israel.

Dalam permainan imej politik Malaysia, hubungan dengan AS - dengan konotasi yang negatif - lebih mudah dikaitkan dengan Anwar dan parti-parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat.

Sejak era bekas Perdana Menteri Tun (ketika itu Datuk Seri) Mahathir Mohamad, serangan karakter terhadap Anwar biasa muncul dalam pakej AS, kuasa asing dan "Yahudi," ekoran hubungan beliau dengan AS dan tokoh-tokoh Barat berbangsa Yahudi.

Mahathir pula menjadikan serangan terhadap Yahudi sebagai satu senjata pentingnya, sehingga berdepan kecaman wakil-wakil rakyat AS di Washington dan banyak pihak lain di peringkat antarabangsa.

Walau bagaimanapun, pendirian ini berpindah antara satu sama lain apabila Anwar pula menggunakan kaitan Yahudi untuk menyerang Umno dan kerajaan, melalui urusan dengan firma penasihat komunikasi Apco Worldwide, yang kaitan Yahudinya tidaklah jauh berbeza dengan banyak syarikat lain yang beroperasi di Malaysia.

Sebelum ini, ketika Najib masih timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, Anwar pernah menggunakan isu halangan kepada syarikat Iran daripada terlibat dalam satu pameran pertahanan untuk menunjukkan Najib sebagai pengampu AS.

Kali ini, Anwar bertindak lebih jauh lagi, sehingga kelihatan menyalahi karakter sebenarnya, apabila dengan sepenuhnya menggunakan kaitan Yahudi/Israel untuk menyerang Najib dan kerajaan pimpinan Umno.

Dengan sokongan media propembangkang dan blog-blog yang mengemukakan mesej berbentuk propaganda, Anwar menjalankan serangan berterusan terhadap kredibiliti Najib dan kerajaan melalui kaitan dengan Apco/Yahudi/Israel.

Najib pula menunjukkan pendirian selari Kuala Lumpur dengan Washington dalam hal Perjanjian Mencegah Percambahan Nuklear (NPT), dengan melahirkan persetujuan terhadap pendirian menghalang Iran membangunkan senjata nuklear.

Najib dalam hal ini tidak mengemukakan apa-apa pendirian baharu kerana Malaysia berpendirian Iran berhak membangunkan teknologi untuk tujuan aman tetapi bukan untuk senjata, seperti yang termaktub dalam NPT yang juga ditandatangani Malaysia.

Tetapi hal ini juga boleh dilihat sebagai satu lagi penegasan terhadap sikap Malaysia dalam hal nuklear Iran, yang terjejas akibat undi menentang resolusi terhadap Iran di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, IAEA oleh wakil Malaysia ke agensi PBB itu akhir tahun lalu.

Malaysia telahpun menamatkan khidmat duta terbabit, Mohd Arshad Manzoor Hussain ekoran undi menentang itu yang meletakkan Malaysia sekali dengan Cuba dan Venezuela.

Najib juga hadir ketika Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik untuk mengawal perdagangan senjata pemusnah, undang-undang yang kelulusannya dilapor dipuji Obama.

Pertemuan di Washington itu memberi satu suntikan perhubungan awam yang besar kepada Najib, ekoran populariti Obama dan imej yang sebahagian besarnya positif di Malaysia.

Pertemuan itu dan laporan-laporan positif di akhbar-akhbar prokerajaan bertujuan untuk memanipulasi imej positif Obama itu, sambil mengambil manfaat daripada kesan pujian dan pengiktirafan AS terhadap Malaysia, sesuatu yang biasa menjadi modal dalam politik Malaysia, tidak kira pemimpin terbabit menyukai atau kritikal terhadap AS.

Mahathir sendiri, yang terkenal dengan sikap kritikal terhadap AS dan Barat juga akan mempergunakan peluang seperti ini sekiranya berpeluang. Beliau menggunakan pelobi untuk mengadakan satu pertemuan dengan presiden AS pada masa 2002, George W Bush.

Keperluan untuk menumpang imej positif melalui pertemuan dengan presiden AS ini menjadi sesuatu yang penting bagi banyak pemimpin dunia, termasuk negara-negara maju.

Kedua-dua Najib dan Anwar masih menggunakan senjata masing-masing, iaitu Apco dan Israel bagi Anwar bertujuan mengalihkan tuduhan mempunyai hubungan sangat rapat dengan kuasa asing terhadapnya, dan Obama bagi Najib untuk mempromosi imej positif.

Apa yang jelas, pemimpin-pemimpin politik akan menggunakan apa sahaja simbol, untuk mendapatkan imej positif dan mengaitkan lawan dengan imej negatif. Senjata yang digunakan boleh sahaja berubah-ubah bergantung kepada keadaan.

Tiada ulasan: