Jumaat, 23 April 2010

Polis, Tentera Mula Undi Pos Hari Ini


polis Oleh Fazy Sahir


KUALA KUBU BARU: Dua hari pengundian pos pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bermula hari ini membabitkan tiga tempat pengundian pos yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pengarah SPR Selangor Dzulkifli Ab Rahman, berkata anggota tentera mengundi di Kem Semboyan, manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Maktab Latihan Polis, kesemuanya dekat sini.

Proses mengundi dijangka telah bermula jam 8.00 pagi tadi sehingga 5.00 petang ini.

“Proses pengundian berjalan lancar. Hanya pihak polis yang meminta supaya pengundian dijalankan selama dua hari, iaitu hari ini dan esok, bagi membolehkan anggotanya yang sedang bertugas untuk pergi mengundi,” kata Dzulkifli.

Sejumlah 799 undi pos, dengan 170 daripadanya membabitkan anggota tentera manakala selebihnya merupakan anggota polis.

Dzulkifli berkata bahawa apabila selesai proses pengundian petang ini, karung undi pos itu akan dibawa ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan disimpan oleh pegawai tersebut.

Sementara pada 25 April ini, ia akan dibawa dan dibuka untuk pengiraan di pusat penjumlahan undi.

Seramai 799 penguni pos itu adalah sebahagian daripada 64,500 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Bagi pengundi biasa, akan mula mengundi Ahad ini dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang di 48 pusat pengundian.

Pilihan raya kecil itu melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan dan calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Dua calon Bebas telah menarik diri. Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, daripada PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Tiada ulasan: