Ahad, 25 April 2010

Polis Tahan 32 Orang, Anggap Pengundian Terkawal

TV SELANGOR


HULU SELANGOR: Seramai 32 ditahan polis sepanjang tempoh pilihan raya kecil bagi Parlimen Hulu Selangor, termasuk enam daripadanya ditangkap hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di pelbagai lokasi.

"Seramai 22 orang termasuk tiga wanita ditahan dari hari penamaan calon (17 April) hingga tamat tempoh kempen manakala enam lagi ditahan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata semua sudah dibebas dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Katanya lima daripada enam lelaki yang ditahan hari ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 427 kanun sama kerana khianat.

Katanya lima lelaki itu ditahan di sebuah pusat pengundian di Sungai Buaya tetapi enggan mendedahkan tempat seorang lagi lelaki itu ditahan.

Dalam pada itu, Khalid berkata polis akan menyiasat laporan sebuah portal berita yang mendakwa polis menahan pengundi hantu yang membawa senjata ke pusat pengundian.

"Saya nafikan laporan itu. Kita akan buat laporan polis terhadap media terbabit dan memanggil wartawan yang menulisnya," katanya.

Sepanjang proses pengundian sehingga berita ini ditulis, beliau berkata sebanyak 195 laporan polis diterima melibatkan pelbagai kes dengan 35 daripadanya sudah disiasat.

Katanya, keadaan terkawal walaupun terdapat insiden kekecohan di beberapa tempat seperti Sungai Buaya, Bukit Sentosa dan Hulu Bernam.

"Penyokong parti menimbulkan provokasi sesama mereka seperti jerit-menjerit, ejek mengejek dan membaling botol kosong namun kita berjaya mengawal keadaan.

"Cuma ada satu insiden bertumbuk yang mengakibatkan seorang penyokong lelaki cedera di dahinya di sebuah pusat pengundian di Sungai Buaya, namun kita masih belum menerima sebarang laporan polis," katanya.

Justeru, beliau menasihati penyokong parti bertanding supaya lebih berdisiplin dan menjaga tutur kata dan tingkah laku supaya tidak menimbulkan kemarahan pihak lain.

Tiada ulasan: