Khamis, 1 April 2010

PM umum langkah tambahan elak rasuah

BERNAMA



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata mulai hari ini, tiga langkah tambahan akan dilaksanakan untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida dan pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya.

Seterusnya, mereka perlu menandatangani teks perjanjian yg mengandungi klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan, tambah Najib.

Katanya, langkah itu adalah inisiatif tambahan Kementerian Kewangan yang telah pun mensyaratkan satu klausa khas berkaitan "Integriti Pact" dimasukkkan dalam semua teks perjanjian yang berkaitan dengan kontrak perolehan kerajaan mulai 28 Feb, 2009.

"Semua inisiatif ini dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan kerajaan," katanya selepas melancarkan portal MyProcument, Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media, Najib menjelaskan klausa khas itu merupakan komitmen dan akujanji sebagai pembida yang berjaya, dan jika gagal memenuhinya maka tindakan boleh diambil.

"Tetapi sebelum itu, maknanya mereka faham tanggungjawab mereka sebagai seorang yang berjaya memperoleh kontrak. Perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan," kata beliau.

Beliau berkata melalui portal itu, keputusan tender akan dipaparkan dalam tempoh 14 hari atau mungkin lebih cepat daripada itu setelah surat setuju terima dikeluarkan kepada pembida berjaya.

Perdana Menteri berkata maklumat dalam portal itu akan dikemaskini setiap satu jam berikutan setiap kementerian akan mengemaskini maklumat masing-masing
dan tindakan akan diambil untuk memuat naik apa yang telah dilakukan oleh kementerian berkenaan.

Terdahulu, Najib di dalam ucapannya berkata pembangunan portal itu merupakan antara langkah terkini untuk meningkatkan ketelusan dan memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Perdana Menteri berkata melalui laman web itu, kerajaan akan memaparkan pelbagai maklumat berkaitan perolehan kerajaan seperti iklan tender, keputusan tender, dasar perolehan kerajaan, tatacara perolehan kerajaan, soalan-soalan lazim, Perjanjian Integriti dan sebagainya.

"Sebagai permulaan, portal itu akan memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender semua kementerian dari bulan Jun tahun lalu sehingga yang terkini," kata beliau.

Najib berkata beliau berharap dengan adanya portal itu, semua pihak akan mendapat maklumat yang tepat mengenai perolehan kerajaan serta mengetahui perkembangan dan pembaharuan dalam perolehan kerajaan.

"Saya ingin mengingatkan semua Pegawai Pengawal agar memberi komitmen untuk memastikan semua maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender kementerian masing-masing sentiasa dikemas kini dan dimuat naik dalam laman web masing-masing," katanya.

Beliau berkata maklumat yang dimuat naik mestilah cepat dan tepat bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan untuk pengetahuan umum.

Tiada ulasan: