Isnin, 5 April 2010

PKR Tidak Terburu-Buru Namakan Calon Kerusi Hulu Selangor - Khalid Ibrahim

BERNAMA

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu terburu-buru dalam menamakan bakal calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita mempunyai ramai ahli berbakat untuk dijadikan calon," katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bahawa Barisan Nasional akan mengumumkan nama bakal calonnya pada 15 April ini, dua hari sebelum hari penamaan calon.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat kanser otak.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan Datuk G.Palanivel daripada BN dengan kelebihan 198 undi. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.

Abdul Khalid berkata memandangkan PKR mempunyai ramai bakal calon, parti itu memerlukan masa untuk menilai mereka.

"Kita masih dalam proses. Saya sendiri tak tahu bila kita akan umumkan," kata Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Tiada ulasan: