Khamis, 8 April 2010

Pilihan Raya Kecil Pas tidak masuk campur

BERNAMA

Pas menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan PKR mengenai calon pakatan pembangkang yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak akan masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya soal calon pilihan raya kecil itu untuk diputuskan pimpinan PKR.

Saya difahamkan senarai nama (calon) sudah ada, yang disenarai pendek lima orang. Saya akan mendengar taklimat mengenai calon ini daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bermula 5 hingga 8 April ini berhenti rehat.

Penamaan calon bagi pilihan raya itu ialah 17 April.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 25 Mac lalu akibat kanser otak.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel daripada Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan 198 undi. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, Pas menuntut kerajaan memberi penjelasan terperinci berhubung pelantikan firma perunding komunikasi antarabangsa Apco Worldwide yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata, pembangkang mencadangkan undi belah bagi dibuat di Parlimen bagi menuntut penjelasan kerajaan sama ada Apco Worldwide dikendalikan oleh pengaruh Zionis atau membantu mencipta konsep 1Malaysia.

Jelasnya, parti itu masih tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan pihak kerajaan di Parlimen berhubung isu tersebut sebelum ini.

Anwar menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan Apco Worldwide dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.

Ketua pembangkang itu menimbulkan isu Apco ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat berikutan usul ahli BN bagi Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1Malaysia ditiru daripada slogan 'One Israel' yang beliau kaitkan dengan Apco Worldwide.

Tiada ulasan: