Sabtu, 17 April 2010

Pilih calon pun BN sudah tak tunai janji - Gobind

Hafiz Irwan


KOTA BHARU: “Sekarang mereka (BN) sendiri terpaksa turunkan calon daripada bukan anak tempatan, mana janji asal dulu? Ini baru peringkat pemilihan calon, janji dah tak tertunai, apa lagi kalau dengan perkara-perkara yang lebih besar,” kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (gambar).

Beliau mengulas kekecewaan Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandiy lantaran janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menurunkan calon anak tempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Namun sebaliknya berlaku sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal berita internet dua hari lepas.

Raily yang mewakili MIC Hulu Selangor mahukan Datuk G. Palanivel dikembalikan sebagai calon.

Namun hasrat Raily itu terkubur apabila Ketua Penerangan Pusat MIC, P. Kamalanathan diumum sebagai calon BN untuk berhadapan dengan Zaid.

Kamalanathan bukan anak tempatan tetapi menetap di Rawang.

Ekoran keputusan tersebut, Raily secara peribadi mengakui kekecewaannya dengan MIC pusat dan BN.

Pencalonan Kamalanathan sekaligus mengetepikan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Ketua Pemudanya, V. Mugilan yang menjadi teka-teki bakal calon sebelum ini.

“BN tidak yakin dengan pendirian mereka sendiri, masa kita (Pakatan Rakyat) tentukan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon kelmarin lagi pimpinan Umno Selangor membuat tanggapan kononnya akan memberi kelebihan kepada BN kerana Zaid bukan anak tempatan.

“Seperti meludah ke langit, terjatuh ke muka sendiri,” kata Gobind mengibaratkan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) apabila akhirnya terpaksa memilih calon luar untuk dipertaruhkan dalam PRK itu.

Mengulas lanjut keputusan BN yang memilih calon lain daripada calon yang dikemukakan sebelum ini, beliau berkata itulah gambaran dilema BN yang pastinya dari luar ia dilihat sebagai satu krisis mencabar kredibiliti MIC.

“Ia menunjukkan seolah-olah MIC sudah tidak dihormati dalam Umno,” katanya.

Justeru Gobind, mencadangkan ada baiknya MIC bertindak keluar daripada terus menjadi komponen BN menyertai Pakatan.

Tiada ulasan: