Selasa, 13 April 2010

PIBG Sekolah Tamil Seluruh Selangor Terima RM522,000


SUARA KEADILAN

KUALA KUBU BAHARU - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menyumbang RM522,000 kepada PIBG sekolah Tamil di seluruh negeri Selangor bagi membaikpulih dan menaikrataf kemudahan sekolah.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Baru semalam, Dr Xavier Jayakumar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor telah menyerahkan cek kepada pengerusi PIBG bagi 97 buah sekolah Tamil di seluruh negeri Selangor.

Secara purata setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM5,000 ke RM10,000 mengikut keperluan sekolah masing-masing.

Sumbangan tersebut merupakan peruntukan tahun ini dari kerajaan negeri untuk membantu murid-murid miskin.

Sebanyak 7 buah sekolah di daerah Hulu Selangor pula mendapat peruntukan tambahan bagi menambahbaik infrastruktur bangunan sekolah, membina pondok bacaan serta membaikpulih tandas sekolah.

Ini termasuk Sekolah Tamil Ladang Nigel Gardner, Sekolah Tamil Lima Belas, Sekolah Tamil Ladang Kerling, Sekolah Tamil Changkat Asa, Sekolah Tamil Bukit Beruntung yang masing-masing menerima RM25,000 setiap sekolah manakala Sekolah Tamil Batang Kali menerima RM31,000 dan Sekolah Tamil Sungai Choh pula menerima RM49,000.

Majlis sumbangan tersebut turut disertai Halimah Ali, Exco Pendidikan Negeri Selangor, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kapar, Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, Gan Pei Nei, Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang serta M Ravi ADUN Port Dickson.

Dr Xavier menegaskan peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM4 juta yang diberikan kerajaan negeri untuk menaiktaraf pendidikan di sekolah Tamil seluruh Selangor

Ujar beliau lagi perkara ini tidak pernah berlaku semasa Barisan Nasional mentadbir Selangor selama 50 tahun.

Pemimin MIC yang kononnya memperjuangkan nasib masyarakat India dalam BN tidak mengambil peduli terhadap pendidikan sekolah Tamil yang kebanyakannya terletak di dalam kawasan estet atau luarbandar.

Tegasnya lagi pemimpin MIC hanya memperbodohkan masyarakat India kerana mereka beranggapan kononnya kelompok masyarakat India tiada pilihan lain kecuali terus menyokong parti itu.

"Bagaimanapun anggapan mereka meleset apabila masyarakat India beralih menyokong Pakatan Rakyat yang lebih mengambil berat dan prihatin membantu mereka.

"Masyarakat India telah menghukum MIC dalam PRU Mac 2008 yang lalu di mana hampir kesemua pemimpin MIC tumpas dalam pilihan raya umum tersebut," kata Dr Xavier.

Dalam majlis yang sama beliau juga menyampaikan sumbangan RM100 setiap seorang kepada 160 orang pelajar cemerlang dari sekolah di daerah Hulu Selangor yang menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun lepas.

Tiada ulasan: