Sabtu, 17 April 2010

Pesara polis berhak sertai parti Pakatan Rakyat

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Pesara polis di negeri Sarawak dan di mana-mana tempat di negara ini berhak untuk menyokong mana-mana parti yang mereka kehendaki termasuklah komponen Pakatan Rakyat.

Mantan Ketua Polis Daerah Baram, Voon Lee Shan berkata, beliau kesal dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis negeri Sarawak, Datuk Mohamad Salleh pada 14 April lalu yang mahu pesara polis di negeri itu agar jangan anti kerajaan.

Menurutnya, sebagai orang penting dalam institusi kepolisan di Sarawak, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang dilihat jelas berpihak kepada parti pemerintah.

“Beliau (Salleh) tidak sepatutnya berpihak dan apabila seseorang anggota polis itu bersara, mereka tidak boleh dihalang dari memberi sokongan atau dihalang untuk tidak bersetuju termasuklah dengan kerajaan.

“Apa yang penting ialah pesara polis itu apabila bersara mereka arif dengan keadaan masyarakat dan sudah pasti teguran mereka terhadap sesuatu dasar kerajaan itu dalam konteks pengetahuan dan pemahamannya dan tidak boleh hanya dilihat dalam konteks anti kerajaan sahaja,” katanya kepada erapakatan.com

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis itu mahu pesara polis di negeri itu bersyukur dengan manfaat dan kehidupan selesa yang dinikmati sepanjang berkhidmat dengan kerajaan dan tidak bersikap anti kerajaan selepas bersara.

Kira-kira 200 anggota polis akan bersara pada tahun ini di negeri itu.

Sepanjang bertugas sebagai pegawai polis, Voon pernah diamanahkan di pelbagai jabatan penting dalam institusi kepolisan termasuklah sebagai pegawai penyiasat kepada orang kenamaan di negara ini selama 16 tahun.

Tiada ulasan: