Selasa, 27 April 2010

Pertarungan lebih sukar bagi DAP di Sibu

BERNAMA


lim guan eng_250_220 GEORGETOWN: DAP menjangka pertarungan yang lebih sukar pada pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Sibu di Sarawak berbanding dengan PRK Hulu Selangor yang baru sahaja selesai, menyaksikan rakan komponen Parti Keadilan Rakyat tewas.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata Sibu sama seperti Hulu Selangor di mana ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri – Nangka, Pelawan dan Bawan Assan – di kuasai oleh Barisan Nasional.

"Kami menjangkakan pertarungan yang lebih sukar di Sibu tetapi kami tidak akan dengan mudah menyerah kalah dan sebaliknya akan terus berjuang untuk menegakan keadilan untuk semua rakyat Malaysia," katanya kepada para pemberita di sini semalam.

Kerusi Sibu menjadi kosong setelah kematian Timbalan Menteri Pengangkutan Robert Lau Hoi Chew pada 9 April. Beliau menjadi ahli parlimen kawasan itu selama lima penggal.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 8 Mei sebagai tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 16 Mei depan.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mendakwa Barisan Nasional menjanjikan projek-projek bernilai RM160 juta di Hulu Selangor dan beliau meramalkan BN akan menaburkan lebih banyak wang di Sibu.

Beliau berkata, calon PKR di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim telah berjaya meraih lebih banyak undi daripada jumlah yang diperolehi oleh bekas ahli parlimen kawasan itu Dr Zainal Abidin Ahmad, yang juga daripada PKR, ketika pilihan raya umum 2008.

Zaid mendapat 23,272 undi manakala P Kamalanathan dari BN memperolehi 24,997 undi. Zainal Abidin memperolehi 23,177 undi pada 2008.


Tiada ulasan: