Khamis, 8 April 2010

Penyanyi popular direman tiga hari

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng yang popular era 90-an ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya yang juga seorang penerbit drama, A Aida.

Ameng, 42, tiba di Bahagian Reman kira-kira jam 10.15 pagi untuk prosedur reman tersebut yang dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret, Ahmad Shakib Ismail di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, semalam.

Menurut sumber, perintah tahanan yang bermula semalam itu bagi membantu polis membuat siasatan terhadap Ameng atas dakwaan mengugut jenayah terhadap wanita berkenaan dipercayai berkaitan penjagaan anak-anak.

A Aida yang juga pernah popular sebagai pelakon pada era yang sama didakwa membuat laporan polis pada 30 Mac lalu atas dakwaan bekas suaminya itu menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan terhadapnya pada hari berkenaan.

Pasangan tersebut berkahwin pada 1995, tetapi bercerai selepas tujuh tahun dan mereka dikurniakan dua anak berusia 8 dan 13 tahun.

laporan media sebelum ini menyatakan, Ameng yang popular menerusi lagu Sejiwa dan Sampai Hati pada 1990an ditahan kira-kira jam 3 petang kelmarin selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul.

Ameng baru-baru ini memperoleh pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-79.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi Sinar Harian petang semalam, mengesahkan penyanyi itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

Tiada ulasan: