Jumaat, 9 April 2010

Penganalisis yakin BN ada strategi tentukan calon MIC sesuai

SINAR HARIAN ONLINE



SHAH ALAM – Penganalisis politik tempatan membayangkan kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai calon dalam pilihan raya umum kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Datuk Zainal Kling berkata, BN akan mengambil kira beberapa faktor dalam menentukan calon yang layak memandangkan persaingan sengit merebut kerusi tersebut.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada pilihannya sendiri dan tidak semestinya memilih calon pilihan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu.

“Saya menjangkakan kemungkinan Palanivel tidak akan dicalonkan dan digantikan dengan calon MIC lain. Walaubagaimanapun keputusan terserah kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dengan meletakkan calon MIC untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Di bawah konsep 1Malaysia adalah lebih baik BN mengekalkan calon MIC untuk melangsungkan dasar perpaduan kaum yang diperjuangkan.

“Malah, dijangkakan kekalahan tipis MIC di kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-12 lalu sudah berjaya ditebus dengan peningkatan prestasi dan tranformasi BN yang semakin cemerlang,” katanya.

Bagi Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga yakin G Palanivel bukan calon MIC di Hulu Selangor.

“Peluang BN dan PKR untuk menang juga adalah cerah dan bergantung kepada pengundi terutama pengundi atas pagar bagi menentukan parti mana yang menang,” katanya.

Tiada ulasan: