Sabtu, 3 April 2010

Pengambilalihan Bantu Paras Harga Air Lebih Rendah

TV SELANGOR


KUALA LUMPUR : Pengambilalihan industri pembekalan air yang dirancang kerajaan Selangor dan menghampiri kenyataan, bakal menjadikan harga air jauh lebih rendah berbanding sekarang.

Ia berikutan harga air dapat dikawal kerajaan negari berbanding syarikat swasta yang mendahulukan keuntungan tanpa mengutamakan kebajikan rakyat.

Proses pengambilalihan industri air di Selangor kian menghampiri realiti berikutan rundingan penentuan harga bakal diputuskan pada 6 April ini.

Rundingan dengan kerajaan Persekutuan telah berlangsung sekian lama.

Keputusan perkara sebelum ini ditunda oleh Kementerian Air, Tenaga dan Alam Sekitar dari 23 Mac kepada Selasa depan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menegaskan Kerajaan Selangor perlu memiliki hak dan kuasa penuh demi merakyatkan pembekalan air dari anasir mensasarkan keuntungan semata-mata.

“Tanpa pengambilalihan, kerajaan negeri tidak ada kawalan, tidak ada kuasa untuk menentukan apa-apa oleh kerana pihak swasta lebih berkuasa berikutan ada 70 peratus oleh Syabas.

"Oleh itu, kerajaan negeri tidak dapat kuasa untuk menentukan dasar-dasar demi kepentingan rakyat,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Beliau menyifatkan kerajaan negeri bertanggungjawab untuk melindungi hak pembekalan air kepada rakyat di negeri masing-masing dan bukannya bersikap lepas tangan dengan memindahkan tanggungjawab itu kepada syarikat swasta.

“Saya fikir cara yang bagus ialah menguruskan bekalan dan pengurusan air jelas menyatakan bahawa sesiapa pun mesti menguruskan secara holistik," katanya.

Tiada ulasan: