Ahad, 18 April 2010

Pengalaman Zaid akan menangkan PR

Nazri Abdullah


HULU SELANGOR: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berpendapat pengalaman luas calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim sudah cukup memberikan peluang kemenangan PR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.

Beliau ketika diminta mengulas kelebihan yang ada pada calon taruhan PR berkata, Zaid seorang yang tahu selok belok pentadbiran negara dan juga permasalah yang sering membelenggu rakyat.

"Saya melihat petanda bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat bawahan.

"Pengalaman beliau (Zaid) menjadi Menteri, mengurus sebuah syarikat guaman terbesar di Malaysia, akan membantu memenangkan beliau, membantu Pakatan Rakyat di Parlimen dan memperkukuh Pakatan Rakyat mendepani politik mendatang," katanya.

Mengulas pertandingan empat penjuru pula Nasharuddin berkata, Zaid dilihat paling menonjol kebolehannya manakala penyertaan dua calon bebas jelasnya tidak sedikitpun menggugat kedudukan Zaid sebagai calon terbaik pilihan rakyat Hulu Selangor.

"Saya tidak melihat ada sebarang kekuatan pada calon bebas kerana rakyat tahu mereka ini tidak punya sebarang dokongan dan asas untuk membantu rakyat dan membela nasib mereka," katanya lagi.

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim(PKR),P.Kamalanathan (BN), dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Tiada ulasan: