Ahad, 11 April 2010

Penduduk Kg Rundum usung pesakit gara-gara jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan

TENOM: Penduduk Kg. Rundum terpaksa mengusung pesakit untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kemabong, gara-gara jalan raya utama tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.

“Hanya ini cara untuk menyelamatkan nyawa penduduk yang sakit,” dedah jurucakap penduduk – Ansarad Korong kepada akhbar ini.

Kampung Rundum terletak kira-kira 40 km dari Pekan Kecil Kemabong, yang dihubungkan melalui jalan raya asas milik syarikat pembalakan.

Menurut Ansarad, jalan raya itu sama sekali tidak boleh digunakan khususnya ketika musim hujan.

Katanya, penduduk telah berulangkali memohon pembaikan jalan raya tersebut, namun sehingga sekarang tidak ada sebarang perkembangan.

Beberapa jambatan turut putus, membuatkan penduduk semakin tertekan.

Empat sekolah rendah yang beroperasi diantara Kemabong dengan Kg. Rundum, yang terdiri daripada SK Kapulu, SK. Rundum, SK. Sumambu dan SK Korolok, turut menghadapi tekanan disebabkan peralatan sekolah, seperti buku dan alat mengajar yang lain tidak dapat di hantar di situ.

“Berpuluh kakitangan sekolah yang tinggal di Tenom atau Kemabong turut tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka, atau terpaksa berjalan kaki berkilometer untuk sampai di sekolah masing-masing,” katanya.

Ansarad berkata, pendedahan yang beliau lakukan bukan bertujuan untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Tenom, atau Adun Kemabong, tetapi katanya, ia lebih menjurus untuk memohon tindakan segera untuk menangani masalah itu.

Penduduk itu berkata, hasil tani mereka seperti getah dan lain-lain gagal di bawah keluar untuk dipasarkan di Kemabong atau Tenom.

“Penduduk mengalami kerugian besar,” jelasnya kepada akhbar ini.

Ahli Parlimen kawasan itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi, kerana masih berada di ibu negara untuk tugasan rasmi di Parlimen.

Tiada ulasan: