Jumaat, 30 April 2010

Pemuda PR, NGO Bawa Kes Aminurashid Ke Suhakam

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Pemuda Pakatan Rakyat(PR) dan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) akan membawa kes remaja yang ditembak polis peronda agar Suhakam memberi perhatian terhadap kes ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan medianya berkata, mereka akan membawa kes tersebut kepada Suhakam pada Isnin ini, jam 2.30 petang agar dapat membuat desakan berterusan ke atas salah laku polis melalui insiden malang ini.

Shamsul dalam pada itu kesal engan insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid Amzah, pelajar berusia 15 tahun yang ditembak mati oleh polis pada 26 April 2010 yang lepas.

"Insiden ini berlaku dalam keadaan kes yang melibatkan Norizan Salleh dan Allahyarham Tawfiq Noorzan masih gagal diselesaikan oleh pihak PDRM dan Kementerian Dalam Negeri.

" Apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan pihak polis yang kelihatan bermain tarik tali dengan insiden sebenar yang membelenggu tiap-tiap kes," kata Shamsul.

Menurut Shamsul, alasan berterusan yang diberikan ialah mereka 'hanya menjalankan tanggungjawab' yang menjadikan nyawa manusia sebagai galang ganti kecuaian mereka.

"AMK melihat pihak polis seolah-olah tidak belajar daripada kesalahan yang lepas. Justifikasi yang memuaskan secara berterusan gagal diberikan," tegas beliau.

AMK dalam pada itu mempersoalkan mengenai etika pengendalian kes-kes yang memerlukan tembakan dibuat seperti yang terkandung di dalam Arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara tidak diberi penekanan oleh anggota polis.

Bagi beliau, rentetan kes yang berlaku ini jelas menampakkan keperluan Kerajaan untuk menyegerakan kewujudan IPCMC sebagaimana yang didesak oleh Pakatan Rakyat sekian lama.
Bagi Shamsul, salahlaku polis semakin berleluasa, dan adalah sesuatu yang sangat malang sekiranya kes salahlaku polis juga disiasat oleh polis.


AMK, dengan solidariti Dewan Pemuda Pas Pusat serta Pemuda Sosialis DAP di bawah panji Pemuda Pakatan Rakyat dengan itu telah menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, dan Ketua Polis Negeri Selangor meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah secara terbuka tanpa kompromi.

Selain itu, mereka juga mahukan sebuah Suruhanjaya Bebas segera diwujudkan untuk menyiasat kes ini pada kadar segera.

Pemuda Umno-BN dan juga badan-badan pro-Melayu seperti Perkasa juga perlu menyatakan ketetapan mereka mengenai kezaliman yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid ini,apakah mereka turut menentang atau bersetuju dengan pembunuhan beliau.

Tiada ulasan: