Rabu, 14 April 2010

Pemuda MCA kepada Muhyiddin: Hujah anda telah menjadi senjata musuh

Chai Kim Sen



Setiausaha Pemuda MCA, Chai Kim Sen menyeru Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan. Malah, Pemuda MCA menasihatkan TPM agar tidak mengeluarkan hujah yang akan mencungkil ketidakpuasan kaum lain, semata-mata untuk mengambil hati sesetengah pihak.

Chai Kim Sen (gambar kiri) berkata, masyarakat umumnya menyetujui penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Perundingan Antara Agama yang diluluskan oleh kabinet, bahkan menaruh harapan agar konflik dan salah faham antara agama akan diselesaikan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas tersebut.

"Biarpun kuasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini mungkin tidak sebesar mana, tetapi tidak harus disifatkan sebagai 'peranan kecil', atau 'tidak penting' dalam mulut TPM. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Khas akan mengkaji isu yang berkenaan dengan agama, dan mempunyai peranannya," kata Chai Kim Sen.

Menurut kenyataan media Chai Kim Sen, TPM seharusnya menggalakkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini untuk merapatkan jurang antara agama di negara kita, terutamanya isu-isu yang berkenaan dengan agama, seperti pertukaran agama, penggunaan kalimah agama dan sebagainya.

Tiada orang yang menganggap bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini akan mengancam kedudukan Islam sebagai agama kebangsaaan. Jadi, tidak perlulah TPM memperkecilkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini untuk meredakan golongan ektremis yang berang tanpa sebab, kata Chai Kim Sen.

Chai Kim Sen mengingatkan Muhyiddin Yassin (gambar kanan) bahawa hujah beliau telah menjadi senjata kepada musuh politik. Seandainya keadaan ini tidak dibaiki, maka persepsi rakyat terhadap Muhyiddin akan menjadi semakin negatif.

*Kenyataan media oleh Chai Kim Sen selaku Setiausaha Pemuda MCA.

Tiada ulasan: