Khamis, 1 April 2010

Pemimpin Gerakan Didakwa Talam Dua Muka

SUARA KEADILAN

PULAU PINANG - Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan, Datuk Dr Teng Hock Nan didakwa talam dua muka kerana mengeluarkan kenyataan yang berbeza berhubung ucapan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) minggu lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik berkata Dr Teng mengutuk Dr Mahathir dalam kenyataan Mandarin yang dikeluarkan olehnya manakala dalam versi kenyataan bahasa Inggeris memuji pemimpin Umno yang menjarakkan diri daripada Perkasa walaupun keseluruhan kenyataan beliau tidak menyebut Dr Mahathir langsung.

"Sangkaan Dr Teng bahawa taktik sedemikian dapat membantu Gerakan untuk berkuasa semula di Pulau Pinang dan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungannya dengan Umno adalah tidak betul sekali. Ramai di antara kita akan tertanya-tanya apakah pendirian sebenar yang dipegang oleh Gerakan secara umumnya dan Dr Teng secara khususnya.

"Mengikut versi Mandarin, Dr Teng dengan lantang mengutuk Dr Mahathir bahawa kenyataannya “berbaur perkauman yang sengit dan tidak sedap didengari” serta menyifatkan Dr Mahathir tidak berkelayakan untuk menjadi seorang negarawan. Jikalau Dr. Mahathir yang “berbaur perkauman yang sengit” dikutuk oleh Dr Teng sekadar dalam media berbahasa Mandarin dan bukannya media berbahasa Melayu atau Inggeris, kenyataan sedemikian juga tidak sedap didengari.

"Dr Teng juga menyatakan bahawa kenyataan Dr Mahathir akan dikutuk oleh DAP dan PKR serta membantu kedua-dua parti politik tersebut mengaut modal politik mereka. Kami ingin memberi teguran kepada Dr Teng bahawa kenyataan beliau yang berdolak-dalik serta bertalam dua muka juga akan membantu DAP dan PKR dalam mengaut modal politik mereka, kata Wei Aik.

Beliau yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri berkata pemimpin Gerakan itu harus berpegang teguh terhadap prinsip politiknya dan bukannya bersikap lidah bercabang dua apabila berhadapan dengan golongan sasaran yang berlainan.

"Janganlah pemimpin Gerakan berlagak seperti Dr Teng yang berfikiran sempit dan kolot sehingga sanggup memutarbelitkan rakyat kita dengan pendirian politik yang berbeza-beza. Gerakan pastinya akan gulung tikar dengan adanya pemimpin-pemimpin semacam Dr Teng," katanya lagi.

Tiada ulasan: