Sabtu, 17 April 2010

Pelatih lumpuh: PLKN di saman RM11 juta

KLPOS.COM


Kes saman seorang bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjumlah RM11 juta terhadap Kementerian Pertahanan dan tiga yang lain kerana lumpuh ditetapkan untuk pengurusan kes pada 25 Mei ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A. Kaveetha menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Jamhirah Ali yang mewakili kesemua defendan memberitahu pemberita bahawa mahkamah membenarkan pihak kerajaan dan defendan lain meminda penyataan pembelaan dan menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes.

Pada 3 Julai 2007, Asila Latin Husna Abdul Bashir, 21, memfailkan saman itu dengan mendakwa beliau lumpuh akibat kecederaan ketika melakukan latihan fizikal di Kem Teluk Rubiah, Sitiawan, Perak.

Asila menamakan jurulatih fizikal di kem itu, Fadzilah Jalaluddin; Ketua Pengarah Jabatan PLKN, Abdul Hadi Awang Kechil; Kementerian Pertahanan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Menerusi bapanya, Abdul Basir Abdul Rahman, Asila memfailkan saman itu melalui Tetuan Haniff Khatri di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Asila, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pada 23 Feb 2007 semasa melakukan latihan tekan tubi sebanyak 20 kali, beliau telah terdengar bunyi seakan-akan tulang patah dan merasa sakit.

Beliau mendakwa jurulatih telah mengarahkan beliau dan pelatih yang lain melakukan latihan tekan tubi dengan kiraan masa yang terlampau cepat tanpa mengambil kira kebolehan dan/atau tahap kesihatan fizikal mereka.

Asila yang mengikuti PLKN pada 1 Jan hingga 11 Mac 2007, mendakwa akibat kecederaan itu beliau yang sebelum itu dalam keadaan sihat telah mengalami lumpuh dan kehilangan deria rasa dari paras dada hingga ke bawah.

Asila, dari Pasir Mas, Kelantan, mendakwa akibat kecuaian defendan-defendan, beliau yang kini tidak boleh bergerak mempunyai peluang tipis untuk bekerja dan berkahwin.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi keseluruhan berjumlah RM11 juta dan memohon faedah pada kadar lapan peratus setahun dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tiada ulasan: