Jumaat, 2 April 2010

Pas tidak bimbang perubahan kepimpinan MCA

DETIK DAILY

Perubahan pucuk kepimpinan yang berlaku dalam MCA tidak sesekali membimbangkan Pakatan Rakyat (PR) bagi meneruskan usaha mendapat undi dan sokongan daripada kaum Cina.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, MCA sudah tidak lagi relevan kepada masyarakat Cina kerana ketelusan kepimpinan parti itu sering dipersoal rakyat.

“Masyarakat Cina dalam kalangan ahli perniagaan ramai yang telah hilang keyakinan kepada MCA dan mereka memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pas dan DAP,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata demi-kian ketika diminta mengulas mengenai kepimpinan baru MCA yang diterajui Chua Soi Lek selepas berjaya mengalahkan dua calon presiden, Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang sebelumnya, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Soi Lek menang majoriti tipis 68 undi dengan memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting yang mendapat 833 undi, manakala Tee Keat hanya 578 undi.

Syed Azman berkata, walaupun Soi Lek berpengalaman dalam bidang politik, namun kemenangan beliau tidak akan menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku dalam MCA.

Katanya, ini berikutan kemenangan yang dikecapi Soi Lek dan penyokongnya tidak lama kerana MCA akan mengadakan pemilihan parti tahun depan.

Mengulas lanjut, be-liau yakin PR akan terus mendapat sokongan kerana tidak melihat sebarang penyelesaian yang akan dilakukan Soi Lek.

“Saya tidak nampak penyelesaian boleh diambil Soi Lek lebih-lebih lagi kemenangan daripada sayap parti ada yang dimenangi individu bukan kumpulannya dan pernah menolak beliau secara terbuka sebelum ini,” katanya.

Beliau turut yakin MCA akan terus dipandang negatif berikutan imej Soi Lek sebelum ini.

Walaupun menganggap skandal seks pemimpin itu berkemungkinan tidak memberi kesan besar kepada masyarakat Cina, namun beliau menganggapnya sebagai bertentangan dengan moral dan tidak dapat diterima masyarakat di negara ini. S/H

Tiada ulasan: