Khamis, 8 April 2010

PAS persoal henti program bantuan tuisyen

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mempersoalkan hasrat kerajaan untuk memberhentikan program bantuan tuisyen pada tahun ini.

Justeru, beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengesyorkan agar program itu diteruskan supaya dapat dimanfaatkan oleh murid khususnya bagi sekolah rendah di luar bandar.

"Mengapa kerajaan berhasrat memberhentikan program tersebut pada tahun ini? Adakah di atas faktor kegawatan ekonomi?” soalnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan mengenai peningkatan pencapaian hasil daripada pelaksanaan skim tersebut serta cara pemilihan murid-murid yang perlu mengikuti kelas tersebut.

Ini kerana katanya, berlaku pertembungan waktu di antara kelas tuisyen itu dengan kelas agama dan sebagainya dan mereka menghadiri kelas tersebut selepas mengikuti kelas persekolahan biasa pada waktu pagi sehingga tengah hari.

"Di kawasan luar bandar, murid tahun empat hingga enam, mereka diminta untuk hadir ke kelas tuisyen tersebut selepas mereka menghadiri kelas biasa pada waktu pagi. Biasanya program ini pada waktu tengah hari. Pada waktu tengah hari jugalah mereka perlu hadiri kelas agama, fardu ain, kafa dan sebagainya.

"Saya rasakan bahawa program itu tidak memberikan masa yang sesuai supaya mereka dapat mengamati kelas tersebut," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoal kemampuan guru yang ditugaskan untuk mengajar kelas itu memandangkan sudah terbeban dengan kerja-kerja di sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi dalam jawapannya berkata, daripada pemantauan yang dibuat, prestasi murid yang mengikuti kelas tersebut mengalami peningkatan.

Beliau juga menafikan kerajaan akan menghentikan program tersebut namun dihadkan kepada murid tahun enam sahaja.

Nizar dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelajaran menyatakan sejauh manakah kementerian membuat pemantauan kepada pelaksanaan Program Bantuan Tuisyen kerana terdapat banyak rungutan daripada ibu bapa terutama di Parlimen Bukit Gantang bahawa pelaksanaan program ini hanya sekadar melepas 'batuk di tangga'.

Tiada ulasan: