Sabtu, 24 April 2010

Parti Komponen, Pemimpin BN Mula Berhijrah Ke Pakatan Rakyat

Oleh Faizal Ezzany


ULU BERNAM - Pakatan Rakyat Tetap menjadi pilihan dan sandaran harapan rakyat walaupun diserang dari pelbagai sudut oleh Umno-Barisan Nasonal untuk menjatuhkannya kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Ini termasuk membeli pimpinan parti termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri melalui imbuhan kewangan serta ugutan supaya meninggalkan perjuangan membela rakyat kata beliau.

"Kita lihat setiap kali pilihan raya mesti ada yang keluar parti, lompat dan itu belum lagi yang dah jadi wakil rakyat yang telah dibeli oleh Umno menggunakan duit rakyat.

"Dalam masa mereka cuba memancing mencari siapa yang akan mengikuti mereka, lihat apa yang telah berlaku di Sarawak, sebuah parti yang dulunya dari BN telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat. SNAP parti yang kuat di Sarawak telah menjadi rakan keempat menyertai Pakatan.

"Yang keluar setiap kali pilihan raya hanyalah ikan bilis sahaja tetapi Umno tidak menjangka ikan paus yang menyertai kita. Jadi saya harap peneroka di sini sedar dan buat penilaian tentang apa yang telah berlaku, kita diterima kerana perjuangan kita jelas dan tidak ada penindasan kepada rakyat.

"Saya tahu rakyat sekarang telah buka mata dengan apa yang berlaku, BN hanya tahu cakap sahaja tapi tidak pernah menunaikan," kata Azizan pada ceramah di Felda Gedangsa yang dihadiri lebih 1,000 penyokong.

Azizan berkata Pakatan Rakyat semakin diyakini rakyat malah pemimpin Barisan Nasional kini sedar bahawa tidak ada manfaatnya lagi bersama BN.

"Di Kedah sesuatu telah berlaku, ada seorang wakil rakyat dari MCA telah meminta cuti selama setahun dan beliau beritahu kepada MCA tidak akan aktif dalam parti tetapi tetap sebagai ADUN.

"Dalam masa yang sama beliau telah menelefon saya mengatakan beliau akan menyokong penuh Pakatan Rakyat kerana kecewa dengan pejuangan yang BN lakukan kerana terdapat banyak penyelewengan di dalam BN samada Umno, MIC atau MCA tetap sama kerana mereka hanya pentingkan peribadi dari perjuangan rakyat.

"Jadi ini menunjukkan penambahan kerusi kepada Pakatan di Kedah dan kebangkitan telah berlaku di sana," kata beliau lagi.

Beliau menyarankan agar peneroka Felda sedar dengan apa yang berlaku dan pemilihan pada pilihan raya Ahad ini mendatangkan manfaat kepada rakyat terutama peneroka yang jelas telah ditindas selain diperah tenaga untuk kepentingan BN.

Menyentuh mengenai status kerusi DUN Kota Seputeh, Azizan berkata kerajaan Kedah telah lama menunggu pilihan raya kecil tetapi BN takut untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

"Saya telah lama tunggu pilihan raya kecil untuk DUN Kota Seputeh, kawasan tersebut telah dikosongkan kerana wakil BN ni malas nak datang mesyuarat DUN sebanyak dua kali jadi kita umumkan dia digugur dari ADUN kawasan berkenaan.

"Bila kita nak adakan pilihan raya, SPR tidak mahu sehinggalah sekarang kes ini masih lagi disimpan di mahkamah. Apa yang jelas sekarang Umno-Barisan Nasional takut hendak berhadapan dengan kebangkitan Pakatan Rakyat sehingga mereka takut hendak hadapi pilihan raya.

"Rakyat sedar dan dapat buat perbandingan antara pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat sejak dua tahun dengan pemerintahan BN selama 50 tahun, keberkesanaan yang kita lakukan telah mengatasi apa yang mereka lakukan," kata Azizan lagi.

Tiada ulasan: