Rabu, 28 April 2010

Panel khas siasat kes polis tembak mati remaja

BERNAMA



Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati polis, awal pagi Isnin di Seksyen 11, Shah Alam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan tersebut akan meliputi semua aspek dan dijalankan secara telus tanpa sebarang fakta disembunyikan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

"Saya bukan sahaja sedih dan kesal malah terkejut dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan pelajar yang baru berusia 15 tahun, justeru saya jamin siasatan dilakukan secara telus. Kita akan siasat semua aspek termasuk kewajaran tindakan polis melepaskan tembakan ketika itu.

"Saya jamin tiada apa-apa fakta akan disembunyikan dan pihak yang terbabit perlu bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati ada yang tidak kena dalam kes ini termasuk jika wujud faktor kecuaian," katanya kepada pemberita di Kajang hari ini.

Hishammuddin berkata, bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan menentukan siapa yang bersalah dalam insiden.

"Masih terlalu awal untuk menentukan siapa salah dan siapa yang betul, biarkan kami membuat siasatan dahulu, siasatan bersandarkan prinsip kebenaran bagi mengelakkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, terutama yang membabitkan kes tindakan polis," katanya.

Justeru beliau meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi dan tuduhan melulu hingga mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak dan individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian itu termasuk dengan menjadikannya sebagai isu politik sehingga mengelirukan orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata setiap saksi dalam inkues kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock diberi jaminan keselamatan sepanjang prosiding itu berlangsung.

Beliau mengulas mengenai ugutan bunuh yang diterima oleh pakar forensik United Kingdom, Dr Peter Venezis oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap keterangannya kelmarin.

"Kalau cakap fasal ugutan, saya pun pernah terima ugutan malah Ketua Polis Negara pun dua hari lalu dapat ugutan juga. Setiap ugutan yang diterima, kita siasat dan dalam kes Dr Venezis ini kita juga sedang membuat siasatan. Dr Venezis tidak perlu bimbang kerana polis sentiasa memberikan perlindungan kepadanya selagi beliau berada di negara ini," katanya.

Hishammuddin juga melahirkan rasa kecewa dengan sikap pakar patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang menjadi saksi penting keluarga mendiang tetapi sehingga ke hari ini tidak muncul memberi keterangan sehingga mengganggu prosiding.

"Dia minta kita beri jaminan keselamatan tetapi bila kita sudah beri, dia pula buat hal dan tidak juga datang. Apa masalah dia yang sebenarnya," katanya.


Tiada ulasan: