Jumaat, 16 April 2010

P212 Sibu, Penamaan 8 Mei, Undi 18 Mei

TV SELANGOR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pilihanraya kecil Sarawak P212 Sibu ditetapkan pada 16 Mei 2010.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di pejabat SPR Shah Alam setelah mengadakan perbincangan hampir 3 jam.

Manakala penamaan calon pula diputuskan pada 8 Mei 2010.

“ Beberapa tarikh yang penting telah pun diputuskan seperti berikut, tarikh keluar writ, 16 April 2010, tarikh keluar notis 21 April 2010 hari Rabu, tarikh penamaan calon hari Sabtu 8 Mei 2010 iaitu lebih kurang 2 minggu selepas pilihanraya kecil di Hulu Selangor dan tarikh pengundian sekiranya ada pertandingan ialah pada hari Ahad 16 Mei 2010” umumnya.

Kerusi P 212 Sibu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pilihanraya kecil perlu diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Lau dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebelum ini memenangi kerusi tersebut dengan 3,235 undi.

Kerusi tersebut turut ditandingi oleh Wong Ho Leng dari DAP dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat pada pilihanraya umum 2008.

Untuk rekod Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Daftar Pemilih Induk 2009 yang telah dikemaskini sehingga kematian Lau mencatatkan 54, 695 pemilih berdaftar.

52, 158 adalah pemilih biasa manakal 2, 537 pemilih pos.

SPR juga membuat keputusan untuk menggunakan Dewan Suarah Sibu untuk tujuan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.

45 pusat mengundi juga telah dikenalpasti.

Pilihanraya kecil Sibu ini merupakan pilihanraya kesebelas selepas pilihanraya umum pada 2008 dan merupakan pilihanraya kecil kedua di Sarawak.

Pakatan Rakyat pada Rabu lalu memutuskan DAP akan menjadi calon parti itu di Sibu.

Ini mungkin bermakna pilihanraya kecil Sibu bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Tiada ulasan: