Rabu, 28 April 2010

Nik Aziz sedia beri kenyataan

UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tajaan haji dan pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurutnya, sekarang ini terpulang kepada suruhanjaya tersebut untuk memanggilnya kerana beliau bersedia memberikan keterangan pada bila-bila masa.

"Terserah kepada dia (SPRM) untuk panggil beri kenyataan, memang saya sedia beri kerjasama kepada mereka.

"Tidak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan SPRM yang akan memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

SPRM juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Nik Abdul Aziz dan dan Abdul Ariffahmi sekiranya maklumat yang diperoleh tidak lengkap.

Pada 8 April lalu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri mendesak SPRM mendedahkan status siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya berhubung dakwaan penyelewengan dalam PMBK yang memakan masa hampir sembilan bulan.

Terdahulu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pertanian Kelantan 2010 di sini, Nik Abdul Aziz berkata, sokongan padu masyarakat Cina kepada pakatan pembangkang sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor membuktikan kerjasama di antara Pas dan DAP diterima oleh kaum itu.

"Memang kami sudah berkerjasama... sudah lama dah, hasil daripada itu Pas dapat masuk rapat dengan DAP.

"Saya cakap pada ceramah dengan DAP, saya terang apa Islam, tidak fobia Islam seperti mana yang dikatakan oleh barat," katanya

Pada pilihan raya kecil itu, calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Bagaimanapun statistik menunjukkan majoriti pengundi Cina tidak memberikan sokongan kepada BN berdasarkan jumlah undi di peti undi majoriti penduduk daripada kaum itu.

Tiada ulasan: