Isnin, 19 April 2010

Niat Halili sertai Umno dipertikai

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Niat dan tujuan sebenar Dr Halili Rahmat yang mengumumkan keluar PKR dan dilaporkan mahu meyertai Umno dipertikai.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, birpun menghormati hak Halili menyertai mana-mana parti, namun hasrat menyertai Umno jelasnya seperti menyokong kumpulan yang tidak menghormati demokrasi.

Halili yang juga bendahari PKR Hulu Selangor jelasnya seorang yang cerdik dan berpelajaran tinggi dan tidak sewajarnya beliau memilih Umno sebagai medan perjuangan.

"Saya hormat keputusan dia, tapi apa sebenarnya yang nak dicapai, itu saya pertikai" katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Dr Halili Rahmat yang mengumumkan keluar PKR pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.

Seorang lagi, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua ketika mengulas perkara sama pula tidak tahu hasrat Dr. Halili untuk menyertai Umno.

"Ya ke, saya belum dengar dari dia sendiri yang dia akan sertai Umno, saya akan cek," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Tindakan Halili itu sekaligus menghangatkan lagi suasana kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor yang masuk hari kedua hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu ceramah mengumumkan calon Pakatan Rakyat 13 April lalu membayangkan isu keluar parti akan mendominasi media pro-Umno.

Peluang ini jelasnya akan digunakan mereka sepanjang kempen PRK Hulu Selangor berlangsung.

Ekoran itu beliau menyeru rakyat Hulu Selangor tidak termakan dengan perencanaan Umno itu.

Tiada ulasan: