Ahad, 18 April 2010

NGO Islam Buat Laporan Polis Terhadap Dr Asri Dan Malaysiakini

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 orang wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini membuat laporan polis terhadap bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana mengeluarkan artikel berunsur hasutan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan Yusri Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau juga membuat laporan polis itu turut dibuat terhadap laman web Malaysiakini kerana menyiarkan artikel tersebut yang bertajuk 'Cabaran Gerakan Pembaharuan' bertarikh 4 April lepas.

Yusri berkata artikel tersebut mengandungi unsur-unsur hasutan yang melanggar Akta Hasutan 1948 kerana didakwa menghina agama Islam dan Institusi Raja-raja Melayu.

"Antara artikelnya (Mohd Asri) mendakwa sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Mohd Asri juga mendakwa golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menuruti kehendak istana dengan mengadakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja.

"Ini menunjukkan raja-raja Melayu dan istana menolak pembaharuan agama kerana didakwa tunduk kepada penjajah dan diampu oleh ulama-ulama," katanya.

Yusri berkata laporan polis itu juga dibuat di seluruh negara oleh NGO Islam yang lain hari ini.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS), Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Persatuan-persatuan Integrasi Muslim Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (Persidam).

Sementara itu jurucakap polis IPD Dang Wangi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu pagi ini.

Tiada ulasan: