Isnin, 19 April 2010

Nasib peneroka Felda Sg Buaya seperti ‘melukut di tepi gantang’

felda logo Bahagian Pertama

Oleh Muda Mohd Noor


Peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor pernah dijanjikan akan mendapat kira-kira RM1.2 juta seorang kerana menjual ladang mereka kepada syarikat pemaju pada penghujung tahun 1994.

Mereka seramai 363 peneroka menjual tanah itu kepada Syarikat Murnia Jaya Development Berhad setelah diarahkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor ketika itu.

Bagaimanapun, ramai daripada mereka telah meninggal dunia. Kini hanya tinggal 57 orang lagi dan mereka pula ada yang uzur kerana lanjut usia.

Murnia Jaya dikatakan gagal mematuhi segala perjanjian pembayaran apabila hanya melunaskan sejumlah kecil dari harga yang sepatutnya.

Pada 4 September 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam memberikan Murnia Jaya selama setahun setengah untuk melunaskan baki kepada 34 daripada peneroka yang membawa kes ini.

Namun sehingga hari ini, pihak Murnia Jaya langsung tidak menghantar sebarang wakil atau memberi penyelesaian kepada penduduk.MD TAIB

Mereka menandatangai surat perjanjian menjual ladang mereka seluas 1,335.46 hektar kepada syarikat pemaju tersebut pada 23 Disember 1994 dengan janji mereka akan menjadi jutawan.

Peneroka masih tunggu wang baki RM360 juta

Malangnya mereka hanya dibayar 35 peratus sahaja dan sehingga kini belum mendapat wang baki sebanyak RM360 juta lagi.

Tinjauan Free Malaysia Today ke kawasan tersebut semalam mendapati mereka masih marah kerana isu tersebut masih belum diselesaikan walaupun telah menunggu berbelas tahun.

Seorang bekas peneroka yang ditemui memberitahu, "kami terpedaya dengan janji-janji palsu yang dibuat oleh pemimpin Umno, kononnya kami akan menjadi jutawan.

"Sebahagian besar bekas peneroka adalah penyokong kuat Umno.Begitupun, kami semua tertipu oleh pemimpin Umno juga.

"Setiap kali menjelang pilihan raya umum, mereka menjanjikan kononnya mahu menyelesaikan pembayaran baki wang tersebut tetapi sehingga sekarang tidak ada," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.

Bekas Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan mahu memajukan bahagian utara dan kawasan pedalaman Selangor menjadi tonggak utama memujuk rakyat supaya menjual ladang mereka kepada pemaju.

Menurut Ismail lagi, nasib 363 peneroka tanah rancangan Felda Sungai Buaya seperti `melukut di tepi gantang.’

"Tiada siapa yang pedulikan kami lagi. Tetapi sudah ada yang datang memujuk supaya kami mengundi mereka," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya jika mereka mahu undi kita selesaikan masalah tersebut terlebih dahulu.

Ismail berkata, selepas hilang mata pencarian, ada juga bekas peneroka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang di Pekan Rawang dan kawasan sekitarnya.

Ketika diminta mengapa peneroka menandatangani surat perjanjian tersebut, Ismail berkata, semua dokumen dibuat dalam bahasa Inggeris.

"Barulah kami sedar rupanya ada yang tidak jujur dalam perjanjian.Jadi kita amat kesal kerana Umno dan menteri bersubahat sama memperdayakan penduduk kerana tamak mahu kaut keuntungan.

Kalau betul pemimpin Umno jujur, dia perlu jelaskan kandungan dalam perjanjian tersebut kepada peneroka ketika itu," ujarnya.

Manakala Aminah Alwi pula mendedahkan satu perjanjian antara peneroka Felda tersebut dengan syarikat pemaju untuk membangunkan Sungai Buaya, dengan tawaran bernilai RM121,000 seekar.

Pendahuluan dibayar RM10,000.00 semasa dokumen perjanjian ditandatangani, selanjutnya dibayar oleh pihak syarikat secara berperingkat sehingga lunas dalam masa 48 bulan daripada tarikh perjanjian ditandatangani.

"Tetapi sehingga ini pihak syarikat baru membayar 35 peratus. erbagai usaha dibuat dan merayu kepada beberapa pihak, namun
hasilnya tak kunjung tiba," katanya.

Aminah meminta kerajaan negeri turun membantu dan campurtangan dalam soal tanah tersebut.

"Kalau kerajaan negeri boleh bertegas dalam soal tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana tidak bayar premium sejak 2001, kenapa ia tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama ke atas pemaju terbabit," tambahnya lagi.

Menurut Aminah, beliau diberitahu oleh bekas peneroka lain pihak pemaju gagal membayar premium tanah seluas 1,335.46 hektar kepada kerajaan negeri.

"Ada sumber kerajaan negeri memberitahu tanah itu telah tergadai kepada bank kerana pemaju gagal membuat pembayaran balik pinjaman mereka," kata Aminah.

Tiada ulasan: