Isnin, 5 April 2010

Najib bukan Superman — Awang Selamat

Mingguan Malaysia

Semalam genap setahun Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Awang bersyukur kerana Najib telah menunjukkan prestasi yang membanggakan. Hala tuju negara makin jelas, prestasi ekonomi bertambah baik dan pentadbiran lebih kemas. Banyak pembaharuan yang beliau laksanakan mula membuahkan hasil, walaupun ada yang tidak terlepas daripada kritikan.

Semua pihak harus sedar bahawa Najib mengambilalih negara dalam keadaan Malaysia berdepan dengan banyak ketidaktentuan terutama politik dan ekonomi pada ketika itu.

Setahun adalah tempoh yang pendek tetapi Najib sudah membuktikan kebolehannya. Awang yakin pencapaian negara akan lebih melonjak di bawah kepimpinan beliau selepas ini. Kesungguhan beliau untuk memupuk perpaduan secara lebih berkesan dan pendekatan berorientasikan rakyat menerusi gagasan 1 Malaysia, tidak boleh disangkal lagi.

Kini ramai makin faham mengapa pembangkang khususnya PKR bimbang Najib menjadi Perdana Menteri. Apa pun, beliau tidak boleh dibiarkan lemas dalam pujian. Cabaran yang menanti beliau cukup besar terutama mengurus kehendak pelbagai kaum dan memenuhi harapan rakyat. Maka tumpuan Kabinet beliau harus kepada tindakan penyudah bagi segala perancangan.

Namun Najib bukan Superman dan tiada lampu ajaib yang boleh mengubah segala-galanya dalam sekelip mata. Seluruh warga negara harus sama komited kepada aspirasi untuk melonjakkan kesejahteraan rakyat dan tanah air ini. Ia menuntut perubahan sikap dan pegangan nilai yang terbaik.

Kepada pemimpin pembangkang pula, belajarlah daripada kekuatan Najib termasuk perilakunya yang harmoni. Sentiasa tenang, sabar dan tidak mudah melatah meskipun menghadapi pelbagai tekanan. Merendah diri, tidak riak dan tahu menghormati orang lain. Kata-katanya terurus cermat. Ketika ada pemimpin pembangkang makin dilihat sebagai liabiliti, Najib pula kian menjadi sandaran masa depan.

Tiada ulasan: