Khamis, 1 April 2010

Najib: AUKU dipinda tambah jumlah profesor diraja

BERNAMA

PUTRAJAYA— Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meminda Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi menambah bilangan Profesor Diraja yang boleh dilantik pada satu-satu masa, yang kini hanya terhad kepada tiga orang.

Perdana Menteri berkata pindaan itu juga bagi membolehkan kerajaan memberi satu pakej imbuhan sesuai dengan ketinggian status yang dimiliki Profesor Diraja berkenaan.

“Pakej ini tidak akan terikat dengan mana-mana tangga gaji yang sedia ada dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika melancarkan Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Najib turut mengumumkan bahawa satu kategori Profesor Kanan juga akan diwujudkan dan golongan itu akan diletakkan di bawah Gred Turus perkhidmatan awam.

Katanya jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh sebuah jawatankuasa khas.

Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan agar beberapa peraturan perkhidmatan awam yang mempunyai implikasi terhadap keberkesanan peranan dan aktiviti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikaji semula.

Perkara itu termasuk Surat Pekeliling Bilangan 3 Tahun 2008, Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Najib berkata kajian semula secara menyeluruh itu bagi membolehkan satu ekosistem terbaik wujud untuk pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan universiti serta program dan aktiviti pembangunan usahawan bagi mengurangkan pergantungan kewangan universiti kepada kerajaan.

“Namun, dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik, kita jangan sekali-kali alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekaligus mengangkasa pengajian tinggi.”

Tiada ulasan: