Sabtu, 10 April 2010

Mufti diminta pandangan berhubung jawatankuasa antara agama

UTUSAN ONLINE

PASIR MAS - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya amat terkejut kerana kerajaan tidak mendapat pandangan pihak lain terutama Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum menubuhkan jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Islam adalah agama rasmi persekutuan.

"Perkasa minta supaya mufti dan juga alim ulama memberi pandangan mengenai penubuhan jawatankuasa agama beberapa hari lalu sebab ramai yang terperanjat kerana cadangan seperti ini dulu sudah kedengaran tetapi mendapat bantahan umat Islam.

"Kerajaan juga perlu mendapat pandangan Majlis Raja-Raja kerana Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama negara dan sultan ketua agama negeri, adakah raja-raja merestui penubuhan ini?" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan permaidani bernilai RM22,500 kepada Masjid Kampung Bechah Durian selepas solat Jumaat di sini hari ini.

Untuk tahun ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyediakan peruntukan RM300,000 untuk membaiki dan menyediakan kelengkapan masjid serta surau di seluruh kawasan tersebut.

Semalam, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa khas berhubung isu antara agama dalam negara.

Kabinet telah memutuskan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut pada Januari lalu bagi menyuburkan semula keharmonian dan kesefahaman antara agama di Malaysia.

Pada 2005, telah wujud cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM).

Bagaimanapun Majlis Mufti-Mufti Malaysia mengambil ketetapan menolak cadangan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa faedah dan hanya merugikan umat Islam.

Ibrahim berkata, Perkasa akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut Ahad ini sebelum menetapkan pendirian mereka berhubung isu terbabit.

"Kita faham tujuan (jawatankuasa ditubuhkan) bagi membolehkan pemimpin agama duduk semeja berbincang dan bertukar pendapat tetapi kita tidak mahu meletak Islam setaraf dengan agama lain.

"Dialog antara agama boleh dibuat secara tidak formal tetapi dengan penubuhan jawatankuasa ini, ia telah dibuat secara formal dan boleh meletakkan Islam sama dengan agama lain. Ini amat bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.

Menurut beliau, tindakan melantik seorang wanita sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut juga boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin umat Islam.

Ujarnya, ia mungkin disebabkan individu terbabit tidak mempunyai kredibiliti serta kefahaman yang tinggi dalam agama Islam untuk mempengerusikan jawatankuasa terbabit.

"Saya melihat ia seolah-olah Islam lawan dengan semua agama lain kerana ia diwakili oleh Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHST).

"Sebab itu, kita mahu pandangan daripada mufti dan alim ulama tentang perkara ini terutama dalam soal akidah," katanya.



Tiada ulasan: