Selasa, 13 April 2010

Mufti Akan Diberi Taklimat Mengenai Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama

BERNAMA

KANGAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menganjurkan perjumpaan khas dengan semua mufti negeri bagi memberi taklimat mengenai penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama.

Katanya, taklimat itu mungkin diadakan dalam tempoh sehari dua lagi bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

"Jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini, jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk memperkukuhkan perpaduan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Antara Pemimpin Barisan Nasional (BN) Perlis Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan berbincang mengenai usaha-usaha untuk mempertingkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri.

"Jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kita dan kita yang nilai," kata beliau sebagai mengulas kenyataan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang membantah kelulusan kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama itu.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan berkata bahawa beliau kesal dan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu kerana bimbang akan wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Muhyiddin berkata jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Tak kanlah sampai tak boleh bincang...kita tidak harus tutup dan kita kena ada sikap terbuka tetapi bukanlah sampai ke tahap untuk menurunkan mertabat Islam," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri itu juga menyelar laporan sebuah media baru yang cuba memperkecilkan peranan jawatankuasa itu dengan memetik kononnya beliau menyifatkan jawatankuasa itu sebagai "satu badan kecil sahaja, peranan sedikit, tidak ada kuasa" sedangkan beliau tidak langsung menyebut perkataan itu.

"Saya akan teliti laporan media dan media itu haruslah lebih bertanggungjawab, saya telah lama dalam politik, saya tahu apa media mahu, saya jelaskan satu persatu supaya media menulisnya satu persatu," kata beliau

Tiada ulasan: