Selasa, 13 April 2010

Modul SPIES tangani kes buang bayi

Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Walaupun pahit untuk ditelan, Ketua Wanita Umno akhirnya mengakui bahawa negeri Selangor sejak era pemerintahan Umno dan BN mencatatkan kes buang bayi tertinggi di negara ini sejak tahun 2005.

Bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Khir Toyo ialah bekas Menteri Besar Selangor sejak tahun 2000 sebelum tumbang dalam Tsunami Politik pada tahun 2008.

Shahrizat berkata, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 105 kes pembuangan bayi berlaku di Selangor dari 2005 hingga 2009.

''Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menunjukkan sebanyak 3,234 kes penderaan kanak-kanak dan bayi berlaku di negeri berkenaan sepanjang tempoh sama," katanya pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun berkenaan sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara dan 10,758 kes membabitkan penderaan kanak-kanak dan bayi.

Shahrizat berkata, antara punca kes pembuangan bayi adalah kurang pendidikan agama pasangan lelaki tidak mahu bertanggungjawab dan ibu bapa tidak dapat menerima bayi yang cacat.

''Kes penderaan kanak-kanak dan bayi pula berpunca kerana ibu bapa menghadapi tekanan di tempat kerja, masalah kewangan dan krisis rumah tangga," katanya.

Selangor kini di tadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan antara langkah konsisten yang diambil bagi menguruskan isu sosial di negeri itu ialah dengan memperkenalkan modul SPIES secara berterusan.

SPIES ialah gabungan pelbagai elemen untuk menjadikan negeri termaju di Malaysia itu seimbang dari pelbagai aspek merangkumi Spritual (S), ‘Physical’ (P), Intelektual (I), Emosi (E), dan Sosial (S).

Ia diperkenalkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Merangkap Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Modul itu turut mensasarkan golongan muda dan kini kian diperhebatkan di segenap daerah di Selangor pada tahun ini.

Tiada ulasan: