Ahad, 18 April 2010

Media Umno-BN Cuba Adu Domba, Azmin Mahu Zaid Ibrahim Menang


TV SELANGOR


HULU SELANGOR : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (pkr), Mohamed Azmin Ali bertekad membantu parti mencapai kemenangan pada calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim walau apapun tohmahan orang kepada beliau.

Ahli Parlimen Gombak itu langsung tidak bimbang dengan dakyah media arus perdana termasuk sesetengah portal berita kawalan Umno Barisan Nasional (BN) yang cuba mengadu-domba hubungannya dengan Zaid.

Azmin digambarkan media arus perdana termasuk portal berita tajaan Umno BN yang mencari ruang untuk memperbesar-besarkan perselisihan pendapat dengan Zaid Ibrahim walaupun perkara itu sudah lama selesai.

Media kawalan parti pemerintah itu juga sekian lama ligat melabel Azmin dengan bermacam-macam gelaran negatif, dan kini menampal tohmahan baru, kononnya beliau merajuk.

Semua itu ditepis, bahkan Azmin bersama pimpinan lain hadir pada hari penamaan calon mengiringi Zaid ke dewan pencalonan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu di sini, semalam.

"Bila menonjol sikit, orang kata kita kuasai parti, bila saya beri lebih ruang kepada golongan muda, saya ditohmah merajuk pula," kata beliau.

Walaupun media kawalan Umno BN cuba memprovokasi Ahli Parlimen Gombak itu sebagai kecewa apabila Zaid Ibrahim menjadi calon, namun Azmin tetap memberi sokongan demi kemenangan Pakatan Rakyat.

“KJ (Khairy Jamaluddin) baru saja twit, katanya Azmin bersedih di dalam khemah, sekarang aku nak senyum kat semua orang," kata Azmin dengan sedikit berjenaka.

Azmin juga meminta media berlaku adil kepada pimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih sesebuah organisasi media lebih diminati dan dihormati masyarakat negara ini.

“Jadi, Agendadaily tulislah betul-betul, memanglah ada ruang kepada Pakatan Rakyat tapi ruang yang negatif. Agendadaily ini kuat sangat Umno, lagi kuat dari ketua bahagian sendiri," sindir beliau.

“Kalau you (agendadaily) buat laporan balance (seimbang), lagi ramai pembaca. Macam Sinar Harian, macam TV Selangor," katanya.

Tiada ulasan: