Jumaat, 23 April 2010

Media Milik Umno-BN Mula Lawan Tokeh

Oleh Najib Hashim

KUALA LUMPUR - Tindakan berani perletakan jawatan editor sebuah rancangan forum terbitan stesen televisyen swasta, ntv7 lantaran dakwaan tekanan daripada isteri Perdana Menteri menandakan golongan media milik Umno-Barisan Nasional sudah bosan dan bangkit menentang kekangan yang dikenakan terhadap mereka sejak sekian lama.

Mengulas isu ini pengasas pusat kajian terkemuka Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata cara seperti menekan dan paksaan tidak akan mencapai matlamat dan tentunya tidak dapat diterima dalam sistem masyarakat alaf 21.

"Bagi saya dalam membina masyarakat madani yang merayakan demokrasi tidak akan dapat membentuk tamadun yang dibanggakan tanpa bersandarkan kepada ilmu pengetahuan," katanya yang juga pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya.

Beliau juga mengesa agar semua pihak lebih bersikap terbuka dan memberi ruang kepada golongan karyawan seperti media massa merencanakan agenda demi kebaikan masyarakat dan demokrasi itu sendiri.

Katanya lagi, perletakkan jawatan ini sebagai tanda dan proses awal golongan wartawan terhadap ketidakadilan dalam masyarakat negara ini.

"Perlu diingat bahawa kumpulan ini (media) merupakan golongan yang sangat berkuasa dan berpengaruh dan mempunyai intelektual yang tinggi serta dikagumi masyarakat, jika kumpulan ini sudah sedar dan bangkit ia adalah satu petanda bahawa masyarakat sudah digerakkan untuk melihat keadilan itu ditegakkan.

"Saya ingin tegaskan disini demokrasi tidak akan berjaya dengan autikrasi, kata Dr Abu Hassan lagi.

Kerakusan kuasa Datin Seri Rosmah Mansur dikatakan menyumbang kepada keputusan Joshua Wong meletak jawatan 20 April lalu apabila isteri Perdana Menteri itu didakwa menekan pengurusan stesen televisyen ntv7 dengan melarang rancangan forum berbahasa Cina, Editor's Time dari membincangkan perkara sensitif terutama politik yang melibatkan kepentingan kerajaan.

Ekoran arahan itu, penerbit berita dan isu semasa ntv7 tersebut meletak jawatan sebagai protes kerana dakwanya pihak ntv7 tunduk kepada aduan Rosmah dan Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab membuat aduan berkenaan.

Joshua Wong yang bertanggungjawab dalam rancangan forum Editor's Time, merasakan kebebasannya tercabul apabila menerima arahan 'tiga perkara yang dilarang'.

Memetik laporan portal merdekareview arahan 'tiga perkara yang dilarang' ini termasuk jangan membincangkan isu politik, jangan mengundang panelis dari Pakatan Rakyat dan jangan membincangkan isu Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

Rancangan Editor's Time yang hanya dimulakan baru-baru ini terpaksa ditarik dan menggugurkan isu politik, lantaran daripada tekanan politik yang dihadapi.

Joshua Wong mengambil keputusan meletak jawatan untuk mempertahankan prinsip kebebasan media.

Beberapa pengamal media yang dihubungi melahirkan kekesalan berhubung kejadian ini dan memuji sikap dan prinsip yang ada pada Joshua.

Mereka percaya sikap menunjukkan pengamal media di negara ini masih waras dan sentiasa berpegang pada etika dan kebebasan kepada wartawan untuk menulis dan menyatakan kebenaran.

Tiada ulasan: