Jumaat, 23 April 2010

MEB: Satu lagi dasar pemulihan imej Najib

Oleh Redzuan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas mengatakan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dilaksanakan oleh pentadbirannya akan mampu meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia. Jika terlaksana secara holistik dasar itu akan membenarkan rakyat Malaysia mencapai pendapatan per kapita AS$15,000 setahun pada 2020 berbanding AS$7,000 ketika ini.

Najib juga menegaskan tiada lagi dasar patronage atau naungan yang selama ini menghambat kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam MEB.

Bagi Ahli Parlimen Selayang yang juga Bendahari agung PKR, William Leong Jee Keen, apa yang diperkatakan Najib tidak lebih daripada aksesais perhubungan awam. Menurutnya jika Najib benar-benar serius dengan MEB kenapakah rancangan itu tidak diumumkan selengkapnya.

“Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika Najib ada political will dia boleh melaksanakan (MEB) tanpa perlu berbincang lagi. Mengapa dia berkata akan merundingkan MEB dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Agenda dalam MEB itu sendiri dicedok dari Agenda Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR). Saya katakan jika PR mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya kita tidak perlu berfikir panjang untuk melaksanakan agenda ekonomi yang kita rancang kerana semua penyokong kita sedia maklum dan sedia menerima Agenda Ekonomi Malaysia.

“Masalahnya dengan MEB ia hanya diperkenalkan oleh Najib tetapi tidak dipersetujui oleh partinya,” kata William ketika dihubungi Erapakatan.

MEB lanjutan liberalisasi

MEB adalah lanjutan liberalisasi ekonomi yang diperkenalkan oleh Najib Razak setelah mengambilalih jawatan Perdana Menteri Malaysia pada April 2009 lalu. Dalam dasar itu, lebih banyak kepentingan asing dibenar memasuki Malaysia tanpa melalui sistem kuota yang mensyaratkan penyertaan Bumiputera sebanyak 30 peratus.

Kesannya agak ketara dalam sektor peruncitan, khidmat insurans dan perbankan. Sektor peruncitan amat terjejas dengan pembukaan terlalu banyak hypermall milik syarikat besar luar negara seperti Jusco, Giant, Tesco, Carrefur dan sebagainya yang mula melumpuhkan sektor peruncitan tempatan yang kecil.

Sebahagian ahli Umno semakin tidak senang dengan polisi ini. Juga polisi yang membenarkan persaingan terbuka, kerana akan menyisihkan mereka daripada peluang mendapat tender dan kontrak mudah melalui pintu belakang.

“MEB adalah dasar ekonomi dua muka. Satu muka kepada kaum bukan Bumiputera yang kononnya akan dibuat reformasi ekonomi. Satu muka lagi adalah apa yang dilakukan oleh Perkasa yang ramai ahlinya adalah ahli Umno. Mereka tidak langsung menyokong MEB malah mereka berjuang untuk memperkasakan DEB.
“Dalam Umno sendiri pun kita tidak dengar cadangan MEB ini diterima oleh ahli-ahlinya. Kita tidak dengar cawangan Umno sokong MEB. Kalau akar umbi parti tidak sokong reformasi ekonomi bolehkah ia dilaksanakan dengan lancar. Bagaimanakah Najib ingin laksanakan MEB?” soalnya.

Hanya pembaikan imej

Tegas William, Najib menggunakan MEB hanya untuk menunjukkan pentadbirannya melakukan sesuatu yang baharu. Agar rakyat tertarik dengan agenda BN. Sama seperti PM Abdullah Badawi melancarkan koridor ekonomi sepanjang penggal pentadbirannya. Hari ini, koridor itu seolah-olah lenyap bersama bersaranya Pak Lah.

“Bagi saya Najib tidak serius dengan MEBnya. Jika benar, adakah dia melantik pakar-pakar ekonomi untuk projek itu? Tidak. Apa yang dilantiknya adalah APCO. Agensi perundingan imej, bukannya pakar ekonomi.

“Salah satu yang diumumkan Najib berkenaan MEB pada 30 Mac lalu ialah projek pembinaan hartanah RM5 bilion di Sungai Buloh, dalam kawasan saya. Ini projek penswastaan, tiada kena-mengena dengan MEB yang kononnya menjadikan masyarakat Malaysia berpendapatan tinggi. Saya diberitahu tiada tender terbuka dilakukan untuk projek di Sungai Buloh itu. Semuanya diberi kepada sebuah syarikat korporat yang rapat dengan Umno.

“Apa maknanya ini? Jika projek di Sungai Buloh dijadikan ukuran MEB maka jelas Najib masih mengamalkan kronisme dan sistem pemberian tender tertutup sepertimana yang berlaku sejak puluhan tahun lalu. Oleh itu saya tegaskan MEB hanyalah retorik Najib untuk memancing undi semata-mata,” sinisnya.

Memang meragukan, apa yang diumumkan Najib pada 30 Mac lalu bahawa MEB akan menukarkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berakhir dengan pelaburan hartanah di Lembah Kelang. Bukannya perubahan struktur pendidikan secara besar-besaran atau skim latihan semula buruh untuk membentuk tenaga kerja mahir. Sedangkan Malaysia kekurangan pekerja berbakat kerana 80 peratus tenaga kerja negara ini berkelulusan SPM sahaja. Atau apakah MEB sebenarnya ditentang hebat dari dalam Umno dan disabotaj agar ia gagal sebelum bermula?

Tiada ulasan: