Khamis, 22 April 2010

MEB: Dasar ekonomi retorik ganti DEB

Oleh Redzuan

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak begitu bangga membentangkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang disifatkannya akan membuka lembaran baru dalam ekonomi Malaysia.

Peraturan baru ekonomi dunia menurutnya menuntut Malaysia mentranformasikan ekonomi ke arah yang lebih terbuka dan diyakini oleh masyarakat antarabangsa. Begitu juga rakyat tempatan akan diberi hak ekonomi yang lebih saksama.

Dari segi retorik, memang dasar ekonomi ini kelihatan mampu untuk mengembalikan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa. MEB merupakan penambah-baikkan dari konsep liberalisasi pasaran yang diketengahkan Najib sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri pada pertengahan tahun lalu.

MEB sama dengan DEB

Namun jika diteliti dengan lebih mendalam, MEB tidak banyak memberi harapan. Ia sama sahaja dengan pelaksanaan dasar liberalisasi dan dasar pembangunan ekonomi nasional atau malah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum itu.

Dasar liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi dalam sektor kewangan dan pelaburan pada tahun lalu tidak mampu menarik minat pelabur asing membawa FDI yang banyak sepanjang 2009. Malah Pelaburan langsung asing (FDI) negara pada tahun tersebut tidak melebihi AS$ 5 bilion dan dianggap ketinggalan berbanding Indonesia atau Vietnam yang sama sekali bukan pesaing ekonomi Malaysia sedekad lalu.

Mengapa hal ini terjadi? Jawapannya mudah, kerana liberalisasi perdagangan dilihat oleh masyarakat antarabangsa masih tidak membenarkan persaingan sihat. Tender atau kontrak dari kerajaan masih diberikan kepada syarikat kroni. Jika dahulu diberi atas nama Bumiputera kini atas nama ‘elit Barisan Nasional’. Hanya pelabur asing yang tidak berfikir panjang sahaja akan menanam modal di negara yang mementingkan elit politik ‘diberi habuan’.

Bagi Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee MEB mempunyai persamaan dengan DEB seandainya keranaan BN masih mengamalkan polisi mengutamakan segelintir pihak dan tidak benar-benar membuka ekonomi kepada semua. Tidak mustahil MEB juga akan mengulangi kegagalan DEB.

“MEB boleh berjaya jika Perdana Menteri ada keazaman politik yang cukup kuat dan tidak dipengaruhi oleh golongan perkauman atau golongan yang ingin mempertahankan kedudukan (keselesaan) ekonomi di dalam partinya. Sekiranya tidak, MEB akan hanya menjadi lanjutan daripada kegagalan DEB.

“DEB kononnya untuk meningkatkan keupayaan ekonomi orang Melayu. Sejak dilancarkan pada 1960an sehingga 1990 DEB mensasarkan penguasaan ekuiti 30 peratus tetapi akhirnya hanya berjaya setakat 19 peratus sahaja. Kemudian DEB dilanjutkan dengan dasar lain (Dasar Pembangunan Nasional). Tetapi ekuiti Melayu tidak juga meningkat sejak 1990, kekal 19 peratus. MEB akan gagal jika Najib mengulang fomula lama dalam pelaksanaan dasar baru ini,” ujar Tony.

Hujah Tony tepat dengan realiti yang melanda negara. Kebanyakan pemerhati ekonomi bimbang dengan kesunguhan Najib yang sejak menjadi Menteri Kewangan lebih banyak memberikan janji manis berbanding integriti perlaksanaan. Misalnya dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion sejak 2008 yang dibentangkannya, hanya RM10 bilion yang benar-benar diberikan.

Begitu juga janji untuk membaiki kemudahan di Sabah dan Sarawak bagi menarik lebih banyak pelaburan. Ia juga tidak menjadi kenyataan. Sementara bajet 2010 juga telah dipotong berikutan kekurangan hasil, sedangkan peruntukan pertahanan tidak dipotong biarpun negara tidak menerima apa-apa ancaman bersenjata. Najib bagi mereka adalah seorang Menteri yang hilang fokus dalam ekonomi atau kadang-kala tidak mengerti sama sekali keperluan ekonomi.

Bukan Bumiputera tolak MEB

Dasar baru yang diperkenalkan lebih bersifat publisiti untuk membaiki sokongan rakyat menjelang pilihan raya. Misalnya pada 2008 kaum Cina menolak mengundi BN kerana ketidak-adilan pengagihan ekonomi, maka Najib mengumumkan liberalisasi beberapa sektor yang sebelum ini diutamakan kepada kaum Melayu. Namun pencapaiannya tidaklah seberapa kerana sebelum ini pun sektor itu tidak memudahkan Bumiputera menceburinya melainkan mereka yang mempunyai kabel dengan tokoh politik tertentu.

Tony juga ragu apakah MEB boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana sebelum ini pun ia telah beberapa kali ditangguh kerana mendapat bantahan keras daripada ahli politik Umno yang berkepentingan

“Sebenarnya kerajaan sudah terlewat memperkenalkan dasar ini. Pada awalnya Najib ingin segera membentangkan MEB tetapi ada bantahan dari dalam parti dan kini dari Perkasa. MEB ditangguh beberapa kali. Kita melihat PM tiada prinsip yang tegas. Beliau kerap tunduk kepada desakan dalaman dan mendahului kepentingan kroni Umnonya,” bidas Tony.

Menurut Tony lagi, cara yang paling baik menyelesaikan pengagihan ekonomi adalah sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui persaingan bebas. Sejak mengambil alih pentadbiran negeri Ketua Menteri Lim Guan Eng telah memperkenalkan tender terbuka kepada semua usahawan di Pulau Pinang tanpa mengira kaum. Kesannya selepas dua tahun orang Melayu mendominasi pemerolehan tender kerajaan negeri

“Kami telah membuktikan persaingan terbuka adalah cara terbaik seperti yang dipraktikan di Pulau Pinang. Dengan polisi tender terbuka kaum Bumiputera telah berjaya meraih 2/3 daripada tender PBA (perbekalan air P. Pinang) dan PDC (Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang)

“Ini adalah bukti kaum Melayu boleh bersaing jika diberi peluang. Sebelum ini pun yang mendapat tender di Pulau Pinang adalah kaum Melayu yang mempunyai kabel dengan pemimpin politik atau kroni pemimpin tertentu. Merekalah sebenarnya yang memerlukan perlindungan, bukannya kaum Melayu yang berkebolehan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini bahawa MEB diciplak daripada Agenda Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan oleh pembangkang menjelang pilihan raya 2008 lalu. Cuma agenda pembangkang ingin memberikan bantuan ekonomi kepada sesiapa yang benar-benar memerlukan, bukannya berasaskan kepentingan politik.

“MEB asalnya ingin merombak ekonomi Malaysia mengikut prinsip persaingan dan merit. Sesiapa yang berkebolehan dan berkeupayan akan diberi peluang.

“Namun bagi PR kita mempunyai dasar yang lebih baik. Bantuan diberikan bukan mengikut kaum tetapi mengikut keperluan. Sesiapa yang miskin dan kurang berkeupayaan akan dibantu tanpa mengira kaum. Cara itu lebih mudah untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin yang sangat lebar di Malaysia sekarang ini,” jelas Tony lagi.

Tiada ulasan: