Ahad, 4 April 2010

Matang Dan Tidak Emosi Ketika Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Para penyokong parti-parti politik yang terbabit dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor nanti diingatkan untuk bersikap matang dan tidak terbuai dengan emosi hingga boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil keputusan di tangan sendiri dengan sengaja mencetuskan kekecohan dan melanggar undang-undang.

"Sudah tentu ada orang yang mungkin bersedia untuk mengambil tindakan sendiri, apabila itu berlaku emosi mungkin tidak boleh dikawal.

"Bukanlah perkara baru, bila ghairah hendak menang, akan ada pihak yang berbuat macam-macam onar justeru itu adalah satu peringatan dan pengajaran untuk kesemua parti," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Ujian Kemahiran Menembak KDN dan Polis Diraja Malaysia Tahun 2010 di Lapang Sasar, Ibu Pejabat Bridget Tengah, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Beliau berkata PDRM seperti biasa, telah bersiap sedia untuk berkhidmat sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor bagi memastikan kesemuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata Barisan Nasional perlu mengemukakan calon yang disenangi dan diterima masyarakat setempat sekaligus mampu membawa kemenangan pada pilihan raya kecil itu.

"Tidak ada gunanya jika calon tersebut hanya dipilih oleh delegasi parti tetapi tidak menjadi pilihan masyarakat, setiap pandangan perlu diambil kira dan dibuat penilaian kerana tentunya kita mahu capai kemenangan," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lepas.

Sementara itu, Hishammuddin yang hari ini genap setahun memegang tampuk KD Nberkata kebanyakan isu dan tuduhan yang dibangkitkan parti pembangkang terhadap kerajaan dan juga PDRM sejak kebelakangan ini terlalu berkisar kepada mainan politik sempit semata-mata.

"Namun itu tidak pernah melemahkan semangat dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Apa jua isu yang pihak tertentu mahu bangkitkan dan tuduh, tidak akan berjaya selagi kita konsisten pada pendirian dan berpegang pada undang-undang," katanya.

Beliau berkata selain itu memandangkan landskap geopolitik, sosial dan keselamatan dunia yang semakin berubah, serta ancaman yang terpaksa dihadapi maka agensi penguatkuasaan negara perlu bersama dengan agensi penguatkuasaan luar agar saling membantu mengekang anasir buruk ini.

Tiada ulasan: