Isnin, 19 April 2010

MAFREL Terus Komited Pantau Pilihan Raya

FREE MALAYSIA TODAY


Syed Ibrahim Syed Noh KUALA LUMPUR: Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL) menyatakan komitmennya untuk terus berperanan sebagai badan pemantau bebas agar pilihan raya menjadi salah satu proses demokrasi yang bebas, adil, telus dan mencerminkan kehendak rakyat.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun peranannya kini dikecam dan dipersoalkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), namun Mafrel sudah mula menjalankan tugas berkaitan beberapa proses pilihan raya di Hulu Selangor termasuklah hari penamaan calon, kempen dan hari pengundian sejak 17 April lalu.

"Tiga orang pemerhati Mafrel telah berada di Kuala Kubu Bharu sejak Sabtu lalu, dan lebih 20 sukarelawan terlatih juga akan ditugaskan untuk membuat pemerhatian sehinggalah hari mengundi pada 25 April nanti.

"Mafrel juga akan terus menjalankan pemerhatian terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pengumuman penarikan semula pengiktirafan Mafrel bagi PRK Hulu Selangor oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini, Syed Ibrahim berkata pihaknya telah mengemukakan penjelasan kepada SPR, namun sehingga kini masih tiada respon.

"Pada setiap kali Pilihan Raya Umum atau Kecil, Mafrel perlu memohon mendapatkan kebenaran secara bertulis dari SPR bagi membolehkan pemerhati pilihan raya yang ditauliahkan Mafrel menjalankan pemerhatian terhadap tatacara proses pilihan raya.

"Ketika pilihan raya Hulu Selangor ini, Mafrel sebenarnya belum membuat permohonan kepada SPR tetapi difahamkan melalui media bahawa pengiktirafan tidak akan diberikan.

"Atas dasar itu, Mafrel telah memohon penjelasan daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melalui surat yang telah dihantar pada 12 April lalu, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Mafrel belum menerima apa-apa maklum balas," katanya.

Walau bagaimanapun menurut beliau, pengiktirafan berkenaan hanya meliputi kebenaran pemerhatian proses penamaan calon dalam pusat penamaan calon, proses pengundian dalam pusat mengundi dan proses penjumlahan rasmi dalam pusat penjumlahan undi.

"Ia tidak menghadkan pemerhatian terhadap persekitaran luar pusat penamaan calon, persekitaran luar pusat mengundi, suasana kempen dan persekitaran luar pusat penjumlahan undi.

"Ini kerana berdasarkan pengalaman MAFREL yang telah memantau pilihan raya sejak tahun 2004, banyak insiden salah laku dan pelanggaran pilihan raya yang besar berlaku di luar daripada pusat penamaan calon, pusat mengundi atau pusat penjumlahan undi.

"Contohnya, permasalahan daftar pemilih yang sering diragui, penyalahgunaan jentera dan sumber kerajaan atau penawaran rasuah dalam bentuk wang, material dan projek ‘mee segera’ ketika berkempen selain kemungkinan berlakunya perbuatan atau tindakan ganas dan merbahaya semasa kempen, dan kita akan terus berikan tumpuan terhadap perkara ini," katanya.

Syed Ibrahim turut menggesa agar setiap parti yang bertanding mengamalkan etika pilihan raya yang adil dan bebas dan melindungi hak pemilih dengan membenarkan mereka menentukan undi secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihan raya.

"Dalam konteks ini, peranan SPR dan polis amat diperlukan bagi menjaga keseimbangan proses pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: