Rabu, 7 April 2010

Mafrel Akan Terus Tunai Tanggungjawab Meski Dihalang

TV SELANGOR

SHAH ALAM,- Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) nyata terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi mengiktiraf badan itu bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, beliau bingkas menegaskan bahawa badan bebas itu tetap akan meneruskan tugas memantau pilihan raya sebagai badan berdaftar.

Syed Ibrahim berkata pengiktirafan itu hanya melibatkan pemantauan di kawasan pengundian dan tidak menghalang mereka untuk melakukan pemantauan dari luar.

“ Saya rasa pertamanya saya belum dapat surat rasmi daripada SPR yang mengatakan kami tidak lagi diberi pengiktirafan untuk memantau pusat mengundi” kata Syed Ibrahim.

“ Sebenarnya dari segi pengiktirafan SPR, pengiktirafan itu untuk memantau dalam kawasan mengundi, tetapi pemantau di luar kawasan mengundi adalah terbuka dan kami sebagai badan yang berdaftar, kita boleh terus memantau dari segi proses kempen, daripada segi proses penamaan dan juga hari mengundi” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar bahawa Mafrel tidak lagi diiktiraf SPR sebagai pemantau bebas dalam pilihanraya kecil hulu Selangor.

Tindakan ini diambil SPR sejurus selepas Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selngaor, Datuk Noh Omar berang dengan tindakan lantang Mafrel melabelkan tindakan Barisan Nasional yang menabur janji dengan pelbagai projek perumahan dan 4 buah sekolah di Hulu Selangor sebelum hari penamaan calon bertentangan dengan etika piliharaya.

Namun Wan Ahmad berkata, tindakan itu diambil kononnya Mafrel gagal mengemukakan laporan pemantauan yang dilakukan semasa kesemua Sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Bagaimanapun Syed Ibrahim berkata, jika SPR bertindak untuk terus menghalang Mafrel daripada menjalankan tanggungjawab sebagai pemantau bebas, Malaysia bakal mengalami kerugian besar apabila keraguan demi keraguan akan terus berlaku setiap kali proses pilihanraya berlangsung.

“ Tapi sekiranya itu berlaku, maka saya rasa satu kerugian bagi pihak SPR dan kerajaan Malaysia kerana fungsi dan peranan Mafrel ini perlu dilihat secara positif. Peranan kita adalah untuk memastikan dan membantu bersama supaya proses pilihanraya ini dilihat adil dan bebas".

Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.


Tiada ulasan: