Khamis, 1 April 2010

Lim tangguhkan tinggalkan parti

Oleh Era Pakatan

BEKAS timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek mengambil keputusan untuk tidak keluar dari parti itu walaupun mempunyai hasrat untuk berbuat demikian sebelum ini.

Sumber parti memberitahu Bernama bahawa Lim mengubah pendiriannya selepas dirayu oleh empat veteran parti dalam satu pertemuan selama 90 minit di sebuah hotel di sini Rabu.

Empat tokoh berkenaan ialah dua bekas presiden dua bekas presiden -- Tan Sri Ong Ka Ting dan Tan Koon Swan serta timbalan presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Datuk Wong Mook Leong.

Lim sudah bersedia mengemukakan surat pengundurannya kepada setiausaha agung parti semalam tetapi menangguhkan niat itu selepas diminta oleh empat pemimpin veteran itu yang ingin bertemu dengannya hari ini.

"Selepas pertemuan itu, Tan Sri (Lim Ah Lek) membatalkan hajatnya untuk menghantar surat itu selepas mengambil kira implikasi negatif kepada parti itu hasil daripada tindakannya itu, " kata sumber itu.

Lim merupakan ahli seumur hidup parti itu.

Keempat-empat pemimpin itu menyatakan mungkin ramai ahli dan pemimpin akan mengikut jejak langkah Lim jika dia meninggalkan parti itu dan sekaligus menjejaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan datang.

Adalah difahamkan, Lim dalam draf suratnya telah menyatakan hasrat untuk keluar parti berikutan pemilihan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden pada pemilihan baru parti itu Ahad lalu.

Dr Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ka Ting dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan presiden.

Lim, ketika ditemui selepas perjumpaan itu, menjelaskan bahawa beliau setia kepada parti sejak 42 tahun dan nilai moral yang disemai oleh ibu bapanya telah melarang beliau berdamping dengan parti di bawah kepimpinan baru.

Katanya walaupun beliau boleh memaafkan atau tidak membangkitkan sama sekali skandal sex DVD membabitkan Dr Chua tetapi zaman internet tidak membenarkan masyarakat melupakan insiden itu dan ianya di luar kawalan.

Menurutnya beliau berpendapat reputasi MCA telah terjejas kerana mempunyai seorang presiden yang terbabit dalam skandal seperti itu.

Tiada ulasan: