Ahad, 4 April 2010

Kulit muka Mohd. Noor mengelupas

UTUSAN ONLINE

KOTA KINABALU - Selepas lebih 90 kali melakukan pendakian dalam pelbagai keadaan cuaca, kulit muka Mohd. Noor Mat Amin mula menunjukkan kesan apabila kelihatan seperti lebam akibat mengelupas beberapa kali.

Pendaki solo itu berkata, perubahan cuaca menyebabkan kulit mukanya hitam akibat kesan pengelupasan dan pancaran matahari.

"Malah kaki dan tangan saya juga sebenarnya turut mengelupas, cuma tidak berapa kelihatan.

"Kulit saya bukan sahaja terbakar akibat pancaran matahari tetapi kerana turut terdedah dengan keadaan berangin dan kabus tebal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Mohd. Noor, keadaan itu tidak menyakitkan dan tidak menjejaskan misi pendakiannya.

Tambahnya, bagi mengatasi masalah itu, dia turut menyapu losen khas bagi mengurangkan kesan akibat pancaran matahari.

Dalam pada itu, katanya, pendakian ke-93 hari ini berjalan lancar dengan ditemani mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Jian Yen dan jurupandu, Julius Pilip.

"Hari ini pendakian bermula pukul 7.30 pagi dan sampai di puncak pukul 1.38 petang sebelum sampai di Gerbang Timpohon pada pukul 5.25 petang," katanya.

Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 42, memulakan misinya menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali yang dijadual berakhir 20 April ini sebelum pendakian baru di Menara Kuala Lumpur.

Beliau juga akan melakukan 111 kali pendakian di menara itu dari 1 hingga 7 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.

Projek pendakian tersebut yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.

Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan (UMS).

Tiada ulasan: