Ahad, 11 April 2010

Koperasi Orang Asli 1Hulu Selangor

UTUSAN ONLINE

HULU SELANGOR - Taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di sini bakal meningkat apabila Koperasi Komuniti Orang Asli 1Hulu Selangor dengan modal berbayar RM30,000 bakal beroperasi selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui koperasi tersebut, masyarakat Orang Asli di Parlimen Hulu Selangor akan dibantu dan dibimbing supaya lebih ramai terlibat dalam perniagaan khususnya di bidang peruncitan.

"Koperasi ini akan memberi fokus kepada bidang peruncitan kerana kita mahu hasil pengeluaran pertanian mereka mampu dipasarkan secara sistematik, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan mereka.

"Ini adalah usaha kerajaan untuk membangunkan Orang Asli dan pada masa yang sama ia bukti jelas bahawa kita tidak pernah mengabaikan kaum pribumi ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan koperasi itu di Bukit Manchong, Batang Kali, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, penubuhan koperasi itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 1Komuniti 1Koperasi di seluruh negara bagi tujuan meningkatkan pendapatan rakyat.

Tambahnya, penubuhan koperasi terbaru itu juga menjadikan koperasi membabitkan Orang Asli di negeri ini berjumlah empat buah dan keseluruhannya sebanyak 18 di peringkat nasional.

Mengenai tenaga mahir untuk menguruskan koperasi tersebut, beliau berkata, kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan ditempatkan di daerah ini selama enam bulan sebaik sahaja koperasi tersebut beroperasi bagi mendidik dan membimbing Orang Asli tentang pengurusan sesebuah koperasi.

Tiada ulasan: