Khamis, 1 April 2010

Khidmat agensi Israel diperkenalkan rakan Khairy kepada Najib

DETIK DAILY


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim membuat pendedahan yang menggemparkan di Parlimen apabila mengemukakan bukti Kerajaan Barisan Nasional, pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat agen Zionis Yahudi untuk membaikpulih imej kerajaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh juga mendedahkan laporan yang mendakwa khidmat APCO Worldwide digunakan dalam menentukan strategi 100 hari pentadbiran Najib, termasuk mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

"Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih," tegas Anwar dalam penjelasan khas beliau di Parlimen 30 Mac lepas.

Penjelasan tersebut dibuat Anwar atas Parlimen, berikutan gesaan Ahli-ahli Parlimen BN yang mahu merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, kerana mendakwa PM terbabit membayar RM60 juta untuk konsultan Israel.

"Saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

"Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi," tegas Anwar.

Dalam ucapan selama 40 minit itu Anwar juga mempersoalkan hubungan dua syarikat iaitu Ethos Consultancy dan Mind Team yang membawa APCO Worldwide, yang didakwa ada kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Menurut Anwar, antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada PM oleh Omar Mustapha Ong, penasihat PM yang juga rakan kongsi Khairy dalam firma perunding Ethos Consultancy.

Tegas Anwar, apa yang dibimbangi, bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

"APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing.

"Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel," dedah Anwar.

Katanya, antara tugas APCO Worldwide kebiasaannya adalah untuk mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian, salah satu bahagian utama dalam perjanjian adalah mengenai perkara-perkara rahsia; “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

"Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia.

"Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Dato' Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri, sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

"Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992 . Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel," dedahnya

Tiada ulasan: