Khamis, 8 April 2010

Khalid pertikai Hospital Shah Alam kurang 200 katil

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mempertikai jawapan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin mengenai perancangan asal pembinaan Hospital Shah Alam yang dikatakan untuk kapasiti 300 katil, bukan 500 katil seperti yang didakwa beliau.

Khalid (gambar) sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, kontrak pembinaan hospital berkenaan pada mulanya diserahkan kepada syarikat pembinaan Isyoda untuk kapasiti 500 katil dengan nilai kontrak bernilai lebih RM600 juta.

Namun apa yang dipertikaikannya apabila syarikat Shunsine Fleet yang mensubkontrak projek itu kepada Isyoda telah mengurangkan nilai kontrak daripada RM600 juta kepada RM400 juta untuk kapasiti 300 katil.

"Jumlah 300 katil untuk Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor berbanding 1,500 katil untuk hospital Tengku Ampuan Rahimah dan 1,000 katil di Selayang adalah angka yang menghairankan sedangkan Shah Alam satu bandar yang pesat membangun dan mengalami pertumbuhan yang sangat cepat," katanya.

Beliau juga berkata, pertukaran sub-kontraktor kepada projek pembinaan itu menjejaskan kelancaran proses pembinaan menyebabkan ianya siap lewat daripada tempoh yang ditetapkan.

“Saya mendengar persoalan land taker sekarang ini menjejas perjalanan projek ini yang mungkin akan tertangguh kerana sekarang ini sub-kontraktor yang baru yg dilantik iaitu GMH Healthcare dan Shunsine Fleet sudah mula bergaduh kerana tidak dapat komisyen," katanya lagi.

Justeru, beliau meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa mereka tidak akan menjaga kepentingan kontraktor utama dan dalam masa yang sama menekan sub-kontraktor.

"Saya ingin melihat satu ketegasan daripada kerajaan BN dan pengakuan daripada Kementerian Kesihatan bahawa mereka tidak akan membela main kontraktor yang dapat projek ini melalui runding terus dan demi kepentingan main kontraktor, maka sub-kontraktor ditekan.

"Saya harap kerajaan akan bertindak tegas bagi menjamin kontrak ini dapat selesai tepat pada waktunya," tegasnya.

Dalam soalan asal, Khalid meminta Menteri Kesihatan menyatakan sebab dan alasan Hospital Shah Alam dikecilkan kemampuan perkhidmatannya daripada 500 katil ke 300 katil walaupun Shah Alam ialah ibu negeri Selangor sedangkan Hospital Selayang dan Klang mempunyai kemampuan yang lebih daripada itu.

Timbalan Menteri dalam jawapannya memberitahu, Kementerian Kesihatan mengambil kira keperluan jangka masa panjang untuk meningkatkan kapasiti Hospital Shah Alam kepada 500 katil dengan menyediakan kemudahan khidmat sokongan klinikal seperti Diagnostic Imaging, dewan bedah, makmal serta sistem kejuruteraan dalam skop projek yang dalam pembinaan ketika ini.

Tiada ulasan: